KUALA LUMPUR 9 Jan - Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka meningkat kepada 5.2% pada 2025 berbanding dengan 5% yang diunjurkan pada 2024, kata Affin Bank Bhd.
Bank itu berkata, unjurannya sejajar dengan ramalan Kementerian Kewangan (MoF) antara 4.5% sehingga 5.5%.
Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan, Alan Tan menjangkakan eksport elektrik dan elektronik (E&E) negara pada tahun ini yang dijangka melantun semula seiring dengan jualan semikonduktor global akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi stabil pada 2025, terutamanya bagi ekonomi terbuka seperti Malaysia.
"Jumlah eksport pada 2023 tidak memberangsangkan tetapi sudah Kembali berpulih pada 2024, disjokong oleh penjualan semikonduktor global dan kami menjangkakan sektor itu akan terus berpulih pada tahun ini memandangkan permintaanya yang tinggi.
"Kami mempunyai banyak firma elektronik kelas tinggi berpangkalan di Pulau Pinang yang menyumbang kepada eksport E&E Malaysia. Menjelang 2025, kami menjangkakan trend ini akan berterusan," katanya ketika taklimat "Tinjauan Ekonomi Malaysia 2025" semasa sambutan Tahun Baharu Cina 2025 bank itu.
Tan berkata, ekonomi tempatan bersedia meraih manfaat daripada permintaan domestik dipacu keadaan pasaran buruh yang stabil dan perbelanjaan isi rumah.
Mengenai tarif dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke atas China dan implikasi ekonomi globalnya, Tan mengulas, Malaysia mungkin akan mendapat manfaat kerana kepelbagaian pelaburan dan operasi pembuatan China akan berpindah ke pasaran negara lain.
"Kami akan terus melihat lencongan perdagangan dengan pengeksport, syarikat di China memindahkan kilang mereka ke Asean seperti Malaysia untuk melepaskan tarif. Ini boleh berterusan. Oleh itu, Malaysia harus terus mendapat manfaat," katanya.
Tan juga berkata, bank itu mengunjurkan ilia ringgit pada akhir 2025 pada RM4.10 berbanding dolar AS dan meramalkan Rizab Persekutuan AS akan meneruskan pemotongan kadar.
Beliau juga berkata, kadar dasar semalaman (OPR) dijangka kekal stabil, sekali gus mengecilkan perbezaan faedah antara kadar tempatan dan kadar Fed AS.
"Ini akan membawa sedikit aliran masuk ringgit," katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, kumpulan itu akan meningkatkan komitmennya terhadap kemampanan, rangkuman kewangan dan tanggungjawab sosial korporat.
Beliau berkata, pembiayaan mampan kumpulan itu ialah 10.2% daripada jumlah portfolio pinjaman setakat suku ketiga 2024, dengan sasaran sebanyak 25% pada 2028 . - DagangNews.com