ELK-Desa catat peningkatan hasil 18% pada 2QFY25 sebanyak RM46.44 juta dipacu sumbangan segmen sewa beli, perabot  | DagangNews Skip to main content

ELK-Desa catat peningkatan hasil 18% pada 2QFY25 sebanyak RM46.44 juta dipacu sumbangan segmen sewa beli, perabot 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Nov - Hasil ELK-Desa Resources Bhd pada suku kedua berakhir 30 September 2024 (2QFY25) melonjak 18% kepada RM46.44 juta didorong sumbangan lebih tinggi daripada segmen sewa beli dan perabot.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai jatuh 4% kepada RM22.07 juta akibat elaun yang lebih tinggi.

 

ELK Desa mencatat hasil segmen sewa beli berjumlah RM693.97 juta, iaitu 18% lebih tinggi daripada tahun sebelumnya. 

 

Katanya, ia menandakan tahap penghutang sewa beli tertinggi kumpulan. 

 

"Bagi perkembangan portfolio sewa beli, pinjaman bank kumpulan meningkat sebanyak 26% kepada RM312.07 juta.

 

"Elaun pula meningkat 97% kepada RM10.91 juta," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu menyaksikan hasil dalam segemen perabot meningkat 25% kepada RM14.68 juta didorong oleh sumbangan jualan perabot yang lebih tinggi di Sabah dan Sarawak. 

 

Selain itu, Lembaga Pengarah kumpulan mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 2.00 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025.

 

Katanya, dividen itu akan dibayar pada 18 Disember 2024.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan kumpulan, Teoh Seng Hee berkata, prestasi kumpulan pada separuh pertama tahun ini disokong oleh pertumbuhan keseluruhan ekonomi Malaysia, kadar inflasi terurus dan keyakinan pengguna yang bertambah baik. 

 

"Kami menjangkakan ekonomi domestik akan kekal berdaya tahan tetapi kami juga sedar perbelanjaan pengguna serta keupayaan pelanggan kami membayar pinjaman mereka tepat pada masanya mungkin terjejas oleh rasionalisasi subsidi dan turun naik harga komoditi,” katanya.- DagangNews.com