E&O catat hasil RM171 juta pada 2QFY25 didorong pengiktirafan hasil The Lume  | DagangNews Skip to main content

E&O catat hasil RM171 juta pada 2QFY25 didorong pengiktirafan hasil The Lume 

The Lume /Gambar hiasan dari laman web rasmi E&O
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Nov - Eastern & Oriental Bhd (E&O) mencatatkan hasil sebanyak RM171 juta pada keputusan suku kedua bagi tempoh berakhir 30 September 2024 (2QFY25).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata, prestasi tersebut menunjukkan kenaikan 38% berbanding RM123.9 juta pada 2QFY24.

 

"Pertumbuhan ini sebahagian besarnya didorong oleh pengiktirafan hasil daripada The Lume yang baru dilancarkan, serta projek pembangunan lain yang sedang berjalan termasuk, The Meg, Fera dan Senna.

 

"Untung bersih kumpulan pada tempoh itu juga melonjak sebanyak 7% daripada RM31.4 juta kepada RM33.6 juta," katanya.

 

Bagi tempoh enam bulan kumulatif (1HFY25), untung bersih kumpulan meningkat 9.2%, tahun ke tahun (YoY) kepada RM74.6 juta.

 

Katanya, pada 1HFY25 kumpulan mencatat peningkatan hasil 60.9% kepada RM336.7 juta.

 

“Segmen hartanah kekal sebagai penyumbang terbesar, dengan peningkatan hasil sebanyak 80.6% kepada RM284.2 juta.

 

"Manakala segmen hospitaliti mencatat pendapatan RM49.3 juta didorong oleh kadar purata bilik dan kadar penghunian yang tinggi," katanya.

 

Sehingga 30 September 2024, Conlay, The Peak dan Avira Garden Terraces, mencatat jumlah hasil RM232.5 juta, mencerminkan peningkatan 93.4% daripada tempoh yang sama tahun lepas.

 

Dengan sumbangan ini, segmen hartanah kumpulan mencapai hasil agregat RM516.7 juta, meningkat daripada RM277.6 juta pada tahun sebelumnya.

 

Mengulas mengenai keputusan itu, Pengarah Urusan Eastern & Oriental, Kok Tuck Cheong berkata, prestasi kukuh untuk 1HFY25 menggariskan keupayaan untuk menyampaikan pembangunan berkualiti tinggi sambil kekal mengikut permintaan pasaran.

 

"Melihat ke hadapan, kumpulan akan melancarkan apartmen servis tepi laut yang pertama seumpamanya di Pulau Andaman menjelang akhir tahun ini.

 

"Pelan induk bernilai RM60 bilion yang diumumkan baru-baru ini untuk Pulau Andaman dijangka meningkatkan dengan ketara daya tarikan pelancaran kami yang akan datang dan meningkatkan momentum pertumbuhan kukuh kami," katanya. 

 

Sementara itu, Lembaga Pengarah mencadangkan dividen khas sebanyak 1 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025. - DagangNews.com