Gabungan lebih 50 negara memeterai Persekutuan Fesyen Antarabangsa BRICS | DagangNews Skip to main content

Gabungan lebih 50 negara memeterai Persekutuan Fesyen Antarabangsa BRICS

Delegasi pereka fesyen yang menyertai Sidang Kemuncak BRICS+Fashion di Moscow, Rusia baru-baru ini.
Oleh Mohamad Iman

MOSCOW 9 Okt – Sidang Kemuncak Fesyen BRICS+ di Moscow berakhir dengan pengumuman penting: peneraju persatuan fesyen dari lebih 50 negara menandatangani memorandum untuk menubuhkan Persekutuan Fesyen Antarabangsa BRICS.

 

Persekutuan baharu ini bermatlamat mewujudkan pusat pengaruh baharu, mengukuhkan hubungan antarabangsa, meningkatkan kemampanan industri serta menyediakan peluang kepada bakat fesyen NewGen untuk berkembang.

 

Apatah lagi, Sidang Kemuncak berkenaan dihadiri oleh wakil dari lebih 100 negara yang mengukuhkan kedudukannya sebagai acara fesyen terbesar untuk pasaran baharu dan pasaran sedia ada yang sudah bertapak utuh.

 

Presiden Persatuan Pereka Fesyen Malaysia, Jay Ishak berkata, penubuhan Persekutuan Fesyen Antarabangsa BRICS termasuk Malaysia, mampu merevolusikan industri fesyen dengan memacu pertumbuhan, inovasi dan kerjasama dalam kalangan negara anggota.

 

"Hal ini boleh meningkatkan perdagangan dan pelaburan, menyediakan akses kepada pasaran baharu, serta meningkatkan kelebihan daya saing, memudahkan perkongsian pengetahuan, penyelidikan bersama dan pada masa yang sama menggalakkan pertukaran budaya, kepelbagaian dan keterangkuman,” kata beliau.

 

Pengerusi Majlis Rekaan Fesyen India, Sunil Sethi pula berkata, "Keperluan untuk mempunyai persekutuan fesyen negara-negara baharu sudah lama tertangguh. Jenama, pereka fesyen dan pasaran, kesemuanya berhadapan dengan cabaran serupa — daripada gangguan rantaian bekalan kepada isu alam sekitar— yang lebih mudah diselesaikan bersama. Dunia fesyen tertumpu kepada beberapa ratus jenama antarabangsa, justeru pasaran baharu memerlukan platform mereka sendiri supaya suara kita diberi perhatian."

 

Memorandum untuk menubuhkan Persekutuan Fesyen Antarabangsa BRICS ditandatangani oleh barisan tokoh berpengaruh termasuk Ketua Pegawai Eksekutif minggu fesyen, peneraju persatuan fesyen dan tekstil, serta pemimpin akademik dari negara seperti Malaysia, Indonesia, India, Singapura, Vietnam, Afrika Selatan, Rusia, Ethiopia, Mesir, Sepanyol, Amerika Syarikat, Ghana, Tanzania, Jordan, Ecuador, Paraguay dan Kenya.

 

Timbalan Datuk Bandar Moscow, Natalya Sergunina menekankan kepentingan inisiatif berkenaan: "Penubuhan Persekutuan Antarabangsa ini merupakan suatu hasil utama Sidang Kemuncak Fesyen BRICS+ yang baru-baru ini berlangsung di Moscow. Ia sekali lagi memaparkan matlamat bersama dan potensi besar pertumbuhan yang kami miliki bersama rakan sekerja global kami."

 

Deklarasi tersebut menetapkan beberapa objektif teras: menyokong bakat tempatan, mempromosikan fesyen lestari, memupuk pertukaran budaya dan mewujudkan platform gabungan pasaran baharu menerusi projek pendidikan dan maklumat. Ia juga memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi baharu, pemeliharaan identiti budaya serta sokongan seni dan kraf tradisional.

 

"Kami komited untuk menyediakan platform global dan acara tempatan buat golongan berwawasan ini bagi memastikan hasil kerja kreatif mereka dihargai di peringkat antarabangsa. Matlamat kami adalah untuk menggalakkan amalan kelestarian dan mesra alam, serta berusaha untuk melaksanakan kaedah telus yang akan mengurangkan kesan karbon industri secara ketara. Fesyen sederhana yang bercirikan penggunaan dan pengeluaran yang bijak, bakal menjadi nadi kepada agenda BRICS IFF dalam usaha kita untuk mengurangkan kesan alam sekitar fesyen," menurut kenyataan rasmi. - DagangNews.com