Gamuda berpotensi sertai FBM KLCI, ganti Genting Malaysia - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Gamuda berpotensi sertai FBM KLCI, ganti Genting Malaysia - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Okt - Gamuda Bhd berpotensi tersenarai sebagai antara konstituen di FBM KLCI menggantikan Genting Malaysia Bhd sekiranya kedudukan permodalan pasaran kumpulan itu di Bursa Malaysia berada di atas ranking 25.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kedudukan permodalan pasaran Gamuda telah meningkat kepada 23 pada penutupan pasaran pada 4 Oktober 2024. 

 

Katanya, sekiranya kumpulan itu mengekalkan kedudukan semasanya atau lebih baik berbanding ranking 25 pada 25 November 2024, Gamuda layak menjadi konstituen FBM KLCI.

 

"Genting Malaysia kini berada di kedudukan 36 yang juga merupakan kedudukan indeks keluar mengikut Peraturan Dasar.

 

"Kami menganggarkan Gamuda mememuhi ujian kecairan untuk layak sebagai konstituen," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Konstituen FBM KLCI dijangka membuat semakan, menggunakan harga saham setakat 25 November 2024 berdasarkan Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia, Peraturan Dasar.

 

Perubahan konstituen akan berlaku selepas pasaran ditutup pada hari Jumaat ketiga Disember, iaitu 20 Disember 2024 akan berkuat kuasa pada hari Isnin berikutnya, iaitu 23 Disember 2024.

 

Maybank IB berkata, sekiranya Gamuda tampil sebagai konstituen, ia dianggarkan memiliki saiz 3.32% berbanding Genting Malaysia dengan saiz 1.14%.

 

Katanya, ia disebabkan had pasaran Gamuda yang lebih besar (1.67x daripada Genting Malaysia) dan apungan bebas yang lebih besar.

 

Pada 3.32%, wajaran KLCI Gamuda akan berada di kedudukan 6, iaitu satu di bawah IHH Healthcare Bhd (3.62%), tetapi satu kedudukan di atas Telekom (3.26%).- DagangNews.com