Gergasi keselamatan Jepun, CSP rancang pembinaan pusat data pertama di Sarawak | DagangNews Skip to main content

Gergasi keselamatan Jepun, CSP rancang pembinaan pusat data pertama di Sarawak

Gambar/FB Unit Komunikasi Awam Sarawak

KUALA LUMPUR 19 Dis - Gergasi keselamatan dan perkhidmatan teknologi maklumat (IT), terkemuka dari Jepun, Central Security Patrols Co Ltd (CSP), menyatakan hasrat untuk menubuhkan pusat data dan kecerdasan buatan (AI) di Sarawak.

 

Projek tersebut akan menjadi kemudahan pusat data pertama CSP di luar Jepun. 

 

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan pelaburan CSP kerana pusat data dan AI adalah sektor utama yang digalakkan di bawah Strategi Pembangunan Pasca-Covid (PCDS) 2030.

 

"Kerajaan komited untuk menyokong syarikat ini dengan pelaksanaan projek-projek di Sarawak," katanya selepas mendengar pembentangan cadangan berkenaan di Tokyo, Jepun, semalam seperti laporan TVS.

 

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (Mintred) berkata, pelaksanaan projek itu boleh diselaraskan dengan beberapa pembangunan utama di Sarawak, termasuk bandar pintar, sistem pengangkutan pantas autonomi (ART) dan keselamatan.

 

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat Mintred, Dato Sri Mohd Naroden Majais dan Setiausaha Tetap Mintred, Dzulkornain Masron.

 

Mewakili CSP ialah Pengarah, Presiden, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Totaro Ichikawa serta Pengarah Pengurusan Kanan dan Pegawai Eksekutif, Masaaki Kokubo.

 

Selain pusat data tersebut, CSP juga menyatakan minat untuk bekerjasama dengan pihak akademik tempatan dan sektor swasta di Sarawak sebagai sebahagian daripada strategi pelaburan mereka.

 

Ditubuhkan pada tahun 1966, CSP berkembang dari perkhidmatan keselamatan tradisional untuk merangkumi pengurusan pusat data dan rumusan infrastruktur IT. - DagangNews.com