KUALA LUMPUR 3 Dis - Grab Malaysia berjaya merancakkan perkembangan ekonomi Johor apabila komuniti Rakan Grab di negeri itu menjana pendapatan melebihi RM500 juta pada tahun lalu sahaja.
Malah, sejak dilancarkan di Johor pada 2013, Grab Malaysia telah menyediakan peluang pendapatan melalui platform berasaskan penyelesaian teknologi kepada hampir 100,000 Rakan Grab, termasuk lebih 400 orang kurang upaya (OKU) dan lebih 3,000 wanita, sekali gus menyerlahkan sumbangan besar syarikat berkenaan terhadap ekonomi negeri.
Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia, JJ Tan berkata, pihaknya memanfaatkan teknologi untuk membantu peniaga berkembang maju dan memacu aktiviti ekonomi yang memberi faedah kepada seluruh komuniti.
"Dengan menyediakan penyelesaian digital inovatif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, kami menyaksikan peningkatan lebih daripada 4% tahun ke tahun di Johor, dengan lebih separuh daripada perniagaan mengekalkan taraf 5 bintang di platform Grab berdasarkan penilaian oleh jutaan penggemar makanan.
"Melalui platform Grab, kami ingin menyokong sektor pelancongan dan memacu pertumbuhan ekonomi. Pada masa yang sama, kami ingin turut menyumbang kepada ekonomi Johor yang dinamik serta memperkenalkan warisan kaya dan peluang yang pelbagai kepada penduduk dan pelancong," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi Sembang TechTarik yang dianjurkan oleh Grab Malaysia baru-baru ini di Johor.
Platform Grab melayani satu dalam 20 orang di seluruh Asia Tenggara, menyerlahkan peranannya dalam menghubungkan komuniti.
Di Malaysia, kehadiran Grab meningkatkan peluang untuk peniaga serta Rakan Grab tempatan.
Sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk menyokong kemajuan komuniti Rakan Grab, Grab sentiasa berusaha membantu mereka memanfaatkan sektor pelancongan sebagai saluran pendapatan baharu.
Memanfaatkan pandangan data, Grab membuka peluang yang membolehkan peniaga-peniaga di Malaysia terus berkembang maju dan meraih manfaat dari pasaran Asia Tenggara yang luas.
Di Malaysia, Grab telah menjadi rakan pengangkutan yang dipercayai oleh pelancong.
Daripada perkhidmatan memesan makanan kepada perjalanan, ia menawarkan kemudahan pada setiap langkah.
Sebanyak 65% pelancong menggunakan aplikasi Grab semasa melawat Malaysia, membuktikan peranan penting platform Grab dalam meningkatkan pengalaman pelancongan mereka.
Melihat perkembangan itu, Grab turut memperkenalkan Grab Tourist Pack, yang memudahkan pelancong menikmati penjimatan segera untuk perkhidmatan pengangkutan serta makanan semasa meneroka Asia Tenggara.
Terdapat di tujuh negara, termasuk Malaysia, Tourist Pack boleh dibeli oleh pelancong sebaik sahaja mereka tiba.
Pakej tersebut membolehkan mereka meneroka lebih banyak kawasan di rantau ini dengan kos yang lebih rendah.
Di Malaysia, pelancong boleh menikmati penjimatan sehingga RM65 untuk perjalanan dan penghantaran makanan serta barangan dengan hanya membayar RM3.50. - DagangNews.com