Grab perkukuh kerjasama dengan AWS sokong pertumbuhan dan cabaran AI | DagangNews Skip to main content

Grab perkukuh kerjasama dengan AWS sokong pertumbuhan dan cabaran AI

Gambar/ Logodix.com
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 5 Dis - Aplikasi super Asia Tenggara, Grab, mengumumkan Amazon Web Services (AWS) sebagai penyedia perkhidmatan awan pilihan untuk mengoptimumkan kos, mempertingkatkan kemudahan dan menyokong beban kerja kecerdasan buatan (AI) yang semakin meningkat.

 

Dengan bilangan pengguna aktif bulanan hampir 42 juta dan lebih 13 juta rakan pemandu serta penghantar, Grab memerlukan kemudahan yang kukuh dan boleh diskalakan.

 

Kerjasama antara AWS dan Grab yang bermula sejak penubuhannya pada 2012, bertujuan untuk memenuhi keperluan tersebut, terutamanya fokus kepada keuntungan.

 

Ketika ini, Grab melakukan lebih 100 transaksi setiap saat, menerima lebih 500,000 notis GPS dan melayani lebih 50,000 permintaan anggaran masa ketibaan (Estimated Time of Arrival). 

 

AWS memperkasakan fungsi pengkomputeran, storan, rangkaian dan pangkalan data kritikal Grab. 

 

Dengan menggunakan awan yang berdaya tahan, selamat dan fleksibel daripada AWS, Grab mempercepat inovasi, melancarkan perkhidmatan baharu dengan cepat dan berkembang dengan cekap di lapan negara iaitu Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

 

Ketua Pegawai Teknologi Grab, Suthen Thomas Paradatheth berkata, strategi pertumbuhan syarikatnya bergantung kepada kestabilan teknologi.

 

"Ini memerlukan percubaan pantas yang selamat, stabil serta berupaya memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi terkini seperti GenAI. Kami berbesar hati memperluaskan perkongsian dengan AWS sebagai rakan awan pilihan untuk terus menyokong perjalanan ini," katanya dalam satu kenyataan sempena Persidangan AWS re:Invent 2024 di Las Vegas, semalam.

 

Ketika Grab berusaha untuk menyeimbangkan pertumbuhan dengan kos, ia menggunakan awan AWS untuk memacu majoriti operasi di Asia Tenggara merentasi sektor seperti pengangkutan, penghantaran dan perkhidmatan kewangan, termasuk digibank di Indonesia, Malaysia dan Singapura. 

 

Dengan menggunakan rumusan berasaskan awan AWS, Grab boleh melakukan urusan dengan pantas dan mengurangkan kos operasi. 

 

Grab menggunakan perkhidmatan analitik AWS Clean Rooms, yang membolehkan kerjasama data yang selamat dan menghormati privasi antara pelbagai entiti dan organisasi. 

 

Ia juga memanfaatkan pangkalan data khusus AWS dan telah memindahkan lebih 400 perkhidmatan aplikasi backend dari pelayan maya tradisional ke pemproses AWS Graviton2 untuk mencapai prestasi yang tinggi, serta kecekapan kos dan tenaga.

 

Berikutan transaksi oleh pelanggan yang meningkat sebanyak 22% pada suku ketiga 2024, Grab menggunakan Amazon Relational Database Service (Amazon RDS) sebagai pangkalan data transaksi yang digandingkan dengan Amazon DynamoDB. 

 

Ini memastikan ketersediaan yang tinggi, kemampuan menaik-skala dan fleksibiliti platform untuk memberikan pengalaman pelanggan yang luar biasa melalui data yang boleh dicari dengan lebih tepat. 

 

Dengan AWS, Grab dapat memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah serta menyesuaikan sumber secara dinamik berdasarkan permintaan pengguna. - DagangNews.com