KUALA LUMPUR 20 Dis - Pendapatan Kotra Industries Bhd diramal berkembang sebanyak 31% pada FY25 didorong jualan produk farmaseutikal yang lebih kukuh dan harga bahan mentah yang lebih rendah rendah.
RHB Investment berkata, peningkatan kes influenza baru-baru ini juga mungkin membawa kepada kesedaran penjagaan kesihatan yang lebih tinggi dan ia seharusnya meningkatkan jualan neutraseutikal Kotra.
Katanya, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), influenza bermusim cenderung merebak dengan cepat semasa musim sejuk di kawasan sederhana manakala kawasan tropika, kejadian penyebaran influenza lebih tidak teratur.
"Di Malaysia, kadar pengesanan influenza telah meningkat dengan ketara sejak awal separuh kedua 2024, melebihi 20% berbanding tahap sub-10% yang diacatatkan semasa separuh pertama.
"Ia mencerminkan aliran bermusim yang lebih luas, menunjukkan peningkatan penyakit serta meningkatkan kesedaran pengguna.
"Dalam konteks ini, kami percaya peningkatan kesedaran kesihatan pengguna akan memberi kesan positif pada segmen neutraseutikal Kotra - terutamanya rangkaian produk vitaminnya (yang membantu meningkatkan sistem pertahanan badan)," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, gudang automasi baharu kumpulan itu ditetapkan untuk siap sepenuhnya menjelang akhir 2025.
Katanya, ketika ini, kapasiti penyimpanan gudang sedia ada telah melebihi 90%.
"Penyiapan kemudahan baharu ini akan membantu menyelaraskan pengurusan inventori, sambil mengurangkan keperluan pengendalian manual dan meningkatkan perancangan inventorinya.
"Kotra juga menyasarkan untuk menambah tiga barisan pembuatan baharu bagi menghasilkan produk baharu," katanya.
RHB Investment mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM5.20 sesaham.- DagangNews.com