KUALA LUMPUR 9 Jan - Indeks harga seunit besi pada Disember 2024 menyusut 0.1% hingga 4.6% bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak berbanding bulan lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit bahan besi telah dicatatkan di Perak (4.6%), diikuti dengan Tawau (2.3%) dan Sandakan (2%).
"Selain daripada itu, indeks harga seunit keratan keluli dan logam turut merekodkan penurunan antara 0.3% hingga 0.8% bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Disember 2024 berbanding bulan lepas.
"Indeks harga seunit simen pula kekal tidak berubah bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Disember 2024," katanya dalam laporan kos bahan binaan, hari ini.
Perbandingan tahunan untuk tempoh Disember 2023 dan Disember 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen merekodkan peningkatan antara 0.1% hingga 2.8% bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Peningkatan tertinggi indeks ini dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (2.8%), diikuti dengan Pahang (2.7%) dan masing-masing 1.5% di Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.
Bagaimanapun, perbandingan tahunan indeks harga seunit besi pula jatuh 1.7% hingga 9.7% pada Disember 2024 berbanding tempoh yang sama pada 2023 bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Penurunan tertinggi bagi indeks seunit besi telah direkodkan di Perak (9.7%).
Dalam pada itu, purata harga simen (Ordinary Portland) pada Disember 2024 kekal tidak berubah berbanding bulan lepas, dengan purata harga RM23.25 per 50 kg sekarung.
Sementara itu, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars pula jatuh 1.1% dengan purata harga RM3,588.30 bagi setiap tan metrik berbanding bulan November 2024 iaitu RM3,628.90 per tan metrik.
Tambahan pula, perbandingan bulanan IKB termasuk bar keluli di Sarawak pada Disember 2024 juga mencatatkan penurunan kecil antara 0.2% hingga 0.5% bagi hampir semua kategori bangunan (kecuali bangunan kayu dan cerucuk kayu) di Kuching dan Sibu.
Selain daripada itu, IKB termasuk bar keluli bagi hampir semua kategori bangunan di Miri menyusut kecil iaitu antara 0.1% dan 0.2% bagi hampir semua kategori bangunan.
Menurut perspektif global pula, berdasarkan laporan Mining.com yang diterbitkan pada 31 Disember 2024, niaga hadapan bijih besi berakhir pada tahun 2024 menyaksikan penurunan drastik melebihi 15% akibat permintaan yang tidak menentu, margin keluli yang mengecil, serta stok tinggi di pelabuhan-pelabuhan oleh pengguna terbesar di China, telah mendorong harga bahan pembuatan keluli semakin merosot. - DagangNews.com