KUALA LUMPUR 18 Nov - Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) melebihi RM4,750 satu tan pada November walaupun dalam persekitaran ketidaktentuan pasaran yang berlanjutan.
Jangkaan kenaikan harga itu berdasarkan ketidakpastian bekalan eksport dan peningkatan harga minyak sayuran, menurut MPOC.
Katanya, walaupun harga minyak sayuran yang tinggi, namun beberapa faktor lain boleh mengganggu lonjakan harga.
"Pasaran tenaga yang lemah, keadaan penanaman kacang soya yang bertambah baik di Amerika Selatan dan ketidakpastian mengenai dasar biofuel Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Donald Trump boleh mencetuskan sentimen negatif terhadap kacang soya dan minyak kacang soya, yang berpotensi melemahkan lonjakan harga.
"Kenaikan harga minyak sayuran akan terus menyokong harga minyak sawit, menunjukkan bekalan minyak sayuran semakin ketat di pasaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MPOC berkata, harga minyak sawit pada masa ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh jangkaan sekatan eksport di Indonesia pada 2025.
Malaysia dan Indonesia dijangka menamatkan 2024 dengan stok rendah, manakala pengeluaran diramal kekal mendatar pada 2025.
"Akibatnya, pengimport utama meningkatkan pembelian mereka dalam jangka masa terdekat sebelum pelaksanaan dasar B40 di Indonesia pada Januari 2025," katanya.
Mengulas mengenai pengeluaran minyak sawit Malaysia, MPOC berkata, segmen itu mengalami penurunan pada Oktober selepas pertumbuhan kukuh sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.
Ia berkata, pengeluaran merosot sebanyak 1.35% berbanding bulan sebelumnya dan 7.2% berbanding tahun lalu, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1.79 juta tan.
Sementara itu, MPOC berkata, eksport minyak sawit melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh empat tahun, mencapai 1.73 juta tan, hampir menyamai rekod 1.78 juta tan yang dicatatkan pada Julai 2020.
Katanya, digabungkan dengan penggunaan domestik, permintaan keseluruhan pada Oktober mencapai 1.94 juta tan, melebihi pengeluaran sebanyak 210,000 tan.
"Pada November, permintaan minyak sawit dijangka kekal stabil walaupun harga meningkat, didorong oleh persiapan menyambut Tahun Baru Cina dan Ramadan.
"Selain itu, larangan eksport minyak sawit mentah oleh Thailand sehingga 2025 telah menyempitkan lagi bekalan.
"Pada 2023, India mengimport kira-kira 800,000 tan minyak sawit mentah dari Thailand dan kini perlu mendapatkan bekalan itu dari Malaysia dan Indonesia bagi baki 2024," katanya. - DagangNews.com