Hasil e-dagang Malaysia pada sembilan bulan pertama 2024 cecah RM918.2 bilion, naik 4% - DOSM  | DagangNews Skip to main content

Hasil e-dagang Malaysia pada sembilan bulan pertama 2024 cecah RM918.2 bilion, naik 4% - DOSM 

Gambar hiasan dari freepik
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencatat pendapatan e-dagang Malaysia pada sembilan bulan pertama tahun 2024 mencecah sebanyak RM918.2 bilion, menunjukkan pertumbuhan 4% berbanding tahun lalu, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

 

"Suku kedua 2024 mencatatkan nilai tertinggi e-dagang dengan RM309.8 bilion, manakala suku ketiga mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 0.6%, turun kepada RM307.9 bilion. 

 

"Walau bagaimanapun, e-dagang tetap menjadi tonggak utama dalam ekosistem ekonomi digital negara," katanya dalam  laporan Ekonomi Digital Malaysia 2024 yang diterbitkan oleh DOSM hari ini. 

 

Pada 15 Oktober 2024, DOSM juga mengumumkan penerbitan Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ASTMK) 2023, yang merakamkan bahawa sektor teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dan e-dagang menyumbang sebanyak RM427.7 bilion kepada ekonomi negara pada tahun 2023, meningkat sebanyak 3.9% berbanding RM411.6 bilion pada tahun 2022. 

 

"Sumbangan sektor ini kini mencatatkan 23.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, berbanding 22.9% pada tahun 2022.

 

"Selain itu, sumbangan terbesar datang daripada nilai ditambah kasar industri TMK (NDTMK) yang mencapai RM252 bilion, dengan pertumbuhan 3.8% berbanding tahun sebelumnya. 

 

"Ini disokong oleh perkhidmatan TMK yang menyumbang 41.6% daripada NDTMK, diikuti oleh pembuatan TMK (38.2%), perdagangan TMK (14.2%), dan kandungan & media (6.0%)," kata DOSM dalam laporan hari ini.

 

Banci Ekonomi (BE2023) yang dilaksanakan pada tahun 2023 juga melaporkan bahawa sebanyak 78,236 pertubuhan perniagaan di Malaysia terlibat dalam transaksi e-dagang, menjana pendapatan berjumlah RM1,126.9 bilion. 

 

Hasil e-dagang yang dijana daripada pasaran domestik mengatasi pasaran antarabangsa, dengan RM1,003.5 bilion (89.1%), berbanding dengan RM123.4 bilion (10.9%) yang dijana daripada pasaran antarabangsa.

 

Segmen pasaran, Business to Business (B2B) mencatatkan pendapatan tertinggi sebanyak RM786.5 bilion (69.8%), diikuti dengan Business to Consumer (B2C) sebanyak RM312.6 bilion (27.7%), dan Business to Government (B2G) sebanyak RM27.8 bilion (2.5%).

 

DOSM

 

Mohd Uzir juga berkata, perkhidmatan TMK seperti penerbitan, telekomunikasi, pengaturcaraan komputer dan perkhidmatan maklumat, mencatatkan nilai output kasar sebanyak RM190.1 bilion pada tahun 2022, dengan kadar pertumbuhan tahunan 6.2% sejak 2015.

 

Perkhidmatan telekomunikasi merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ini, meningkat 7.6% kepada RM121 bilion.

 

Laporan tersebut turut menunjukkan 95.9% pertubuhan yang dibanci pada tahun 2022 menggunakan komputer, dengan 93.3% memanfaatkan akses internet. 

 

DOSM

 

"Di Kuala Lumpur, penggunaan komputer dan internet masing-masing mencapai 99.8% dan 99.6% . 

 

"Untuk akses internet, 92.3% perniagaan memilih jalur lebar tetap, sementara penggunaan jalur lebar mudah alih meningkat kepada 77.9% pada tahun 2022.

 

"Selain itu, penggunaan teknologi maklumat di kalangan isi rumah juga menunjukkan 99.3% isi rumah di Malaysia memiliki akses kepada telefon bimbit, dan 96.4% mempunyai akses internet. 

 

"Pilihan utama untuk akses internet adalah jalur lebar mudah alih, yang digunakan oleh 95.3% isi rumah,.

 

"Sementara itu, penggunaan ICT oleh individu pada tahun 2023 menunjukkan bahawa 80.4% individu menggunakan komputer, dengan 86% di kawasan bandar dan 63.6% di kawasan luar bandar.

 

"W.P. Putrajaya mencatatkan peratusan tertinggi penggunaan komputer dan akses kepada internet oleh individu, masing-masing 97.7% dan 99.9%," katanya.  - DagangNews.com