Hasil SP Setia melonjak 2.3 kali ganda kepada RM853 juta didorong jumlah jualan tinggi | DagangNews Skip to main content

Hasil SP Setia melonjak 2.3 kali ganda kepada RM853 juta didorong jumlah jualan tinggi

Atlas Melbourne, pembangunan bercampur 73 tingkat yang terletak di 383 La Trobe Street di daerah pusat perniagaan Melbourne.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Nov - SP Setia catat hasil kepada RM853 juta bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2024, meningkat 2.3 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut mencapai jumlah jualan yang memberangsangkan sebanyak RM3.2 bilion.

 

"Projek tempatan menyumbang RM3 bilion, dengan 94% jualan kumpulan didorong oleh wilayah Selatan dan Tengah, masing-masing membawa masuk RM1.58 bilion dan RM1.37 bilion," katanya. 

 

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Bhd, Datuk Choong Kai Wai berkata, prestasi kewangan kumpulan sehingga kini dipacu oleh inisiatif strategik.

 

"Faktor seperti permintaan pasaran yang kukuh di wilayah Selatan dan Tengah ditambah pula dengan strategi pengurusan kos yang betul yang menghasilkan keuntungan yang mampan untuk Setia," katanya.

 

SP Setia
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Bhd, Datuk Choong Kai Wai

 

Sehingga September 2024, kumpulan itu memperoleh RM556 juta jualan dalam perancangan, segmen pembangunan hartanah menyumbang RM477 juta, manakala segmen industri Setia Alaman menambah RM79 juta.

 

“Bagi baki tahun ini, kumpulan menyasarkan untuk melancarkan anggaran RM1.97 bilion dalam hartanah kediaman, komersial dan perindustrian, dengan lebih 62% tertumpu di wilayah tengah.

 

"Di peringkat antarabangsa, kumpulan telah melancarkan projek Australia, Atlas Melbourne, pembangunan bercampur 73 tingkat yang terletak di 383 La Trobe Street di daerah pusat perniagaan Melbourne.

 

Dengan Nilai Pertumbuhan Kasar (GDV) sebanyak AUD886.7 juta (kira-kira RM2.70 bilion) yang mana pembinaan fasa 1 akan dijadualkan bermula pada separuh pertama 2026, dengan dijangka siap menjelang 2028.

 

Fasa selebihnya dijadualkan siap pada pertengahan 2029.

 

SP Setia juga akan melancarkan projek Setia Federal Hill Fasa 1 (dianggarkan GDV RM1.4 bilion) di Kuala Lumpur, dengan kerjasama Mitsui Fudosan. 

 

Dengan 42 projek yang sedang berjalan dan jualan belum dibil berjumlah RM3.50 bilion setakat 30 September 2024, kumpulan mempamerkan keterlihatan hasil yang kukuh. - DagangNews.com