KUALA LUMPUR 24 Dis - Heitech Padu Bhd melantik Hasrul Azuan Mohd Yusof, 45, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa 23 Disember 2024, menggantikan Salmi Nadia Mohd Hilmey, 42, yang meletakkan jawatan untuk meneroka peluang dan minat lain.
Salmi Nadia adalah anak kepada Timbalan Pengerusi Eksekutif syarikat itu, Datuk Seri Mohd Hilmey Mohd Taib.
"Hasrul Azuan mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang pengurusan perniagaan dan mahir dalam mengendalikan selok-belok perniagaan," menurut pengisytiharan syarikat kepada Bursa Malaysia.
Sebelum menyertai syarikat perkhidmatan sistem dan rangkaian bersepadu tersebut, beliau adalah Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pembangunan Perniagaan di Malayan Banking Bhd.
"Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau berjaya membawa jabatan tersebut melalui cabaran yang kompleks dan melaksanakan perubahan strategik yang telah menghasilkan pelbagai anugerah serta pencapaian yang diiktiraf, meletakkan pasukan tersebut sebagai pemacu utama kejayaan berterusan organisasi," jelas syarikat dalam pemfailan berkenaan. - DagangNews.com