KUALA LUMPUR 3 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak naik unjuran pendapatan Southern Cable Group Bhd selepas keputusan suku ketiga kumpulan itu berjaya memenuhi jangkaan dibantu peningkatan permintaan serta pengembangan kapasiti.
Firma penyelidikan itu turut menaikkan ramalan pendapatan bagi FY24, FY25 dan FY26 kumpulan itu masing-masing sebanyak 13%, 20% serta 19%.
Mereka juga turut menyemak semula anggarannya selepas pendapatan sembilan bulan Southern Cable sebanyak RM47 juta, yang meningkat 176%, melebihi jangkaan.
HLIB berkata, lonjakan dalam jualan utiliti pengeluar, dengan peningkatan 70% suku tahun ke suku tahun dan 82.8% dari tahun ke tahun, didorong permintaan kukuh dalam sektor infrastruktur tenaga.
Pertumbuhan itu disokong oleh pentauliahan Lot 38 dan pertumbuhan jualan yang teguh dalam kedua-dua pasaran domestik dan Amerika Syarikat (AS).
"Dengan Lot 38 beroperasi pada kapasiti penuh sejak suku ketiga 2024, kumpulan itu kini mengembangkan kapasiti pengeluaran tahunannya dengan tambahan 5,000km di kilang sedia ada," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
HLIB berkata, penghantaran kabel bulanan kepada pelanggan utama di AS meningkat daripada 40 kepada antara 45 hingga 50 kontena.
Dengan itu, syarikat itu mengembangkan kapasitinya sebanyak 20% hingga 30% dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, disokong oleh pelaburan RM22 juta dalam kemudahan baharu.
Selain itu, kontrak jangka panjang utama dengan Tenaga Nasional Bhd dijangka diperoleh tidak lama lagi, mengukuhkan lagi kedudukan pasarannya.
“Di samping kapasiti diperluaskan kumpulan dan ketiadaan pembekal kabel utama di Malaysia, kami percaya kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk memperoleh kemenangan kontrak yang lebih besar di bawah kontrak LT,” katanya.
Margin keuntungan Southern Cable juga dijangka bertambah baik dengan pelancaran kilang kompaun plastik, memastikan kawalan kos yang lebih baik dan ketekalan bekalan.
Firma penyelidikan itu bagaimanapun tidak menetapkan sebarang penarafan tetapi meningkatkan harga sasarannya kepada RM1.45 daripada RM1.15.- DagangNews.com