HMAV Tarantula 4x4 tepati spesifikasi kenderaan perisai baharu dikehendaki Tentera Darat | DagangNews Skip to main content

HMAV Tarantula 4x4 tepati spesifikasi kenderaan perisai baharu dikehendaki Tentera Darat

Varian baharu kenderaan HMAV Tarantula semasa dipamerkan pada DSA 2024.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 16 Okt - Kementerian Pertahanan (Mindef) mengesahkan kenderaan perisai mobiliti tinggi (HMAV) Tarantula 4×4 menepati ciri-ciri yang dikehendaki setelah melalui beberapa fasa ujian yang ditetapkan.

 

Ini termasuk spesifikasi teknikal pada kenderaan sepanjang ujian tersebut dilaksanakan.

 

Memetik laporan laman pertahanan Air Times News Network, perkara itu dinyatakan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin dalam jawapan lisan di Parlimen.

 

 

Menurut kenyataan itu, Tarantula keluaran MILDEF Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF) telah melalui beberapa proses uji nilai bagi menepati kehendak dan keperluan operasi Tentera Darat.

 

Kenderaan
Kenderaan HMAV Tarantula telah melalui beberapa ujian yang ditetapkan Tentera Darat.

 

Kenderaan

 

Antaranya uji nilai keupayaan kenderaan dalam persekitaran pengoperasian muka bumi Malaysia pada awal tahun 2021 dan juga penilaian keupayaan syarikat pada Februari 2023.

 

Tarantula juga melaksanakan ujian balistik tembakan Defence Technology Institute, Bangkok, Thailand dan ujian balistik letupan di Council for Scientific and Industrial Research, Pretoria, Afrika Selatan.

 

Hasil kedua-dua ujian, pihak Tentera Darat mendapati Tarantula 4×4 yang ditawarkan memenuhi dan mematuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.

 

MILDEF juga dirumuskan berupaya membekalkan kenderaan ini sebagai produk buatan tempatan dan mempunyai fasiliti pembuatan kenderaan.

 

Pengesahan daripada Mindef ini adalah sesuatu yang positif dalam usaha memberi keyakinan terhadap kemampuan syarikat tempatan dalam industri pertahanan.

 

Kenderaan
Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin semasa melihat kenderaan HMAV Tarantula di kilang pemasangan MILDEF.

 

Kenderaan

 

Difahamkan, ujian-ujian ke atas kenderaan Tarantula ini turut membabitkan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) sebagai agensi di bawah Mindef.

 

Bagaimana pun, pengesahan tentang keupayaan Tarantula oleh Mindef ini bukanlah keputusan bahawa kenderaan itu akan dipilih sebagai keperluan Tentera Darat.

 

Cuma, ia mendekatkan lagi peluang MILDEF dalam persaingan tender selain membuktikan kenderaan perisai buatan tempatan ini setanding dengan lain-lain pesaing.

 

Tarantula 4x4 dilancarkan MILDEF pada 2 April 2021 oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kem Perdana, Sungai Besi.

 

Kenderaan
Tarantula 4x4 semasa dilancarkan oleh bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kem Perdana, Sungai Besi.
 

 

Diperkenalkan sebagai kenderaan perisai pertama buatan anak tempatan, kemunculan Tarantula pantas menarik minat pemerhati pertahanan tempatan selain diberi liputan meluas media.

 

Tambahan pula, MILDEF bukanlah sebuah syarikat baharu kerajaan sebelum ini ia terbabit dalam kerja-kerja selenggaraan kenderaan perisai Tentera Darat selain pembekalan kelengkapan.

 

Tarantula 4x4 memiliki keupayaan lasak untuk diaturgerak di atas pelbagai bentuk muka bumi dan mampu mencapai kelajuan sehingga 110 kilometer sejam.

 

Kenderaan perisai ini juga terbukti mampu melaksanakan pelbagai misi penting ketenteraan dengan sistem persenjataan berupaya menembak secara 360 darjah serta dapat memberi perlindungan kepada pengendali serta kru.

 

Dikendalikan tiga kru, Tarantula boleh membawa tujuh orang penumpang atau anggota tentera dengan laluan keluar masuk melalui pintu sisi dan belakang kenderaan.

 

Kenderaan

 

Kenderaan

 

Kenderaan

 

Jentera ini dilengkapi dengan perisai tahap 2 dan boleh ditingkatkan kepada perisai tahap 3 melibatkan Stanag 4569 pada bahagian sisi dan hadapan.

 

Ini merupakan spesifkasi NATO yang menetapkan skala perisai atau perlindungan pada kenderaan perisai ringan untuk membawa anggota dan logistik.

 

Difahamkan, Mindef dalam proses akhir untuk memuktamadkan calon sesuai bagi pembelian kenderaan HMAV dan kenderaan Taktikal Ringan Mobiliti Tinggi (HMLTV) bagi Tentera Darat.

 

Kedua-duanya adalah kenderaan yang berbeza yang mana Tarantula lebih menonjol bagi spesifikasi HMAV.

 

Proses tender untuk pembelian 136 buah HMAV sedang berjalan dengan bajet dijangka kira-kira RM400 juta menerusi peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

 

Potensi Tarantula ketika itu adalah untuk mendapatkan kontrak menggantikan kenderaan perisai pembawa anggota (APC) Radpanzer Condor tentera pengaman Malaysia di Lebanon. - DagangNews.com