Hong Leong Bank dan bank digital terbesar China, WeBank bekerjasama meningkatkan operasi melalui AI | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Bank dan bank digital terbesar China, WeBank bekerjasama meningkatkan operasi melalui AI

(Dari kiri) Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi di Hong Leong Bank, Andrew Jong dan Pengarah Perkhidmatan Teknologi WeBank, Joe Chen pada Majlis Menandatangani Perkongsian Strategik di Perkhidmatan Teknologi WeBank, Hong Kong.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Jan - Hong Leong Bank Bhd (HLB) memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan bank digital terbesar China, WeBank bagi menyepadukan teknologi kecerdasan buatan (AI) termaju ke dalam perkhidmatan kewangan dan meningkatkan kecekapan operasi bank. 

 

Perjanjian itu ditandatangani oleh HLB dan anak syarikat WeBank, WeBank Technology Services.

 

Perkongsian itu, yang ditandatangani dalam satu majlis bersama rakan kongsi institusi kewangan dari Thailand, Indonesia dan Hong Kong,  menyaksikan HLB memanfaatkan kepakaran AI WeBank untuk membangunkan alat automasi.

 

"Alat automasi akan meningkatkan produktiviti tenaga jualan dan pasukan operasi Hong Leong Bank sambil mempertingkatkan sistem data, pemasaran dan pengurusan kempen untuk menyampaikan penyelesaian kewangan yang lebih diperibadikan dan memberi kesan kepada pelanggannya," kata HLB dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank, Kevin Lam mengulas mengenai potensi transformatif perkongsian bagi melengkapkan strategi bank.

 

"Sebagai bank yang mengutamakan digital, kami telah pun membuat pelaburan besar dalam teknologi untuk memastikan kami menyediakan penyelesaian kewangan yang lancar, inovatif dan diperibadikan.

 

"Perkongsian ini melengkapkan strategi kami dengan sempurna. Ia membolehkan kami mempercepatkan lagi pertumbuhan bank dengan memanfaatkan kepakaran AI mereka untuk meningkatkan kecekapan operasi dan menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan kami di seluruh dunia," katanya.

 

HLB menrupakan bank pertama di luar China yang membolehkan Weixin Pay untuk pedagang pada 2018 dan memperkenalkan eKYC untuk onboarding digital hujung ke hujung pada 2020. - DagangNews.com