PKS gagal lunas pinjaman perniagaan pada separuh pertama 2024 catat penurunan - BNM | DagangNews Skip to main content

PKS gagal lunas pinjaman perniagaan pada separuh pertama 2024 catat penurunan - BNM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Okt - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang gagal melunaskan pinjaman perniagaan pada separuh pertama 2024 mencatatkan penurunan ketara, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Katanya, PKS yang berada di bawah program bantuan bayaran balik pinjaman menunjukkan trend yang lebih rendah kepada 4.7% daripada jumlah pinjaman (atau 0.8% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan). 

 

"Kualiti kredit pinjaman perniagaan kekal kukuh, dengan nisbah pinjaman terjejas yang stabil pada 2.6% daripada pinjaman perniagaan.

 

"Sebahagian besar PKS yang telah menamatkan program bantuan bayaran balik pinjaman juga mampu mengekalkan bayaran balik pinjaman masing-masing," katanya dalam satu kenyataan berhubung Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama Tahun 2024, hari ini. 

 

BNM berkata, aktiviti perniagaan juga mencatatkan peningkatan bagi tempoh sama disokong oleh pemulihan dalam keadaan eksport dan permintaan dalam negeri yang lebih kukuh.

 

Beberapa sektor perniagaan terus menghadapi cabaran berpunca daripada tekanan kos yang berterusan dan pemulihan permintaan pengguna yang lebih perlahan bagi beberapa segmen produk bukan keperluan. 

 

Bank pusat tu berkata, secara keseluruhan, sektor perniagaan kekal berdaya tahan terhadap cabaran-cabaran itu. 

 

Dalam pada itu, daya tahan isi rumah terus disokong oleh keadaan ekonomi dan pasaran pekerja yang menggalakkan. 

 

BNM berkata, nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal tidak berubah secara keseluruhan pada 83.8% berikutan hutang isi rumah yang berkembang sejajar dengan kadar kegiatan ekonomi. 

 

Pinjaman isi rumah yang berisiko lebih tinggi untuk mungkir telah menurun kepada 4.4% berbanding 4.8% pada Disember 2023.

 

Dalam pada itu, bank pusat itu berkata, institusi kewangan dijangka terus melaburkan sumber yang besar bagi meningkatkan proses pengesanan dan mitigasi keselamatan siber.

 

Katanya, usaha berterusan oleh institusi kewangan untuk memastikan amalan pengurusan risiko operasi dan kawalan penipuan yang kukuh terus menjadi  keutamaan yang sangat penting untuk menyokong daya tahan operasi sistem kewangan. 

 

Timbalan Gabenor BNM, Jessica Chew berkata, bank pusat itu akan terus menaikkan standard yang dikehendaki daripada institusi kewangan sebagai tindak balas kepada ancaman baharu serta ancaman yang baru muncul. 

 

Hal itu katanya, termasuk memperkenalkan keperluan yang dipertingkatkan bagi menguruskan risiko yang timbul daripada penyedia perkhidmatan pihak ketiga.  

 

"Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Elektronik Masa Nyata (Real-time Electronic Transfer of Funds and Securities System, RENTAS) dan sistem pembayaran runcit (retail payment system, RPS) utama terus mengekalkan ketersediaan sistem tanpa insiden yang serius. 

 

"Rangkaian bayaran segera rentas sempadan serantau Malaysia telah menyumbang kepada peningkatan penggunaan bayaran Respons Pantas (Quick Response, QR) rentas sempadan," katanya.- DagangNews.com