KUALA LUMPUR 25 Nov - ITMAX System Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 37.7% kepada RM22.4 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) berbanding RM16.3 juta pada suku sama tahun lalu.
Kumpulan itu berkata, hasil suku berkenaan juga meningkat 48.5% kepada RM58 juta berbanding RM39.05 juta pada 3QFY23.
"Pertumbuhan itu didorong peningkatan 103.3% dalam hasil daripada segmen perkhidmatan bekalan, pemasangan dan penyelenggaraan. Ia juga disokong peningkatan hasil sebanyak 15.7% daripada rumusan infrastruktur digital," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kumpulan itu berkata, bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24) kumpulan itu melaporkan hasil sebanyak RM157.1 juta, mencerminkan peningkatan 46.7%.
Katanya, untung bersih mereka juga mencecah RM59.7 juta, masing-masing meningkat 28.0% berbanding 9MFY23.
"Segmen pembekalan, pemasangan dan penyelenggaraan kumpulan, mencatatkan lonjakan 132.51% dalam hasil yang menyumbang 52.3% daripada hasil 9MFY24," katanya.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX System, William Tan Wei Lun berkata, pihaknya berjaya memperoleh beberapa kontrak baharu di pelbagai bandar, dengan fasa pemasangan berjalan seperti yang dirancang.
Katanya, projek-projek itu bersedia untuk menjadi pemacu pertumbuhan utama kepada kumpulan tahun-tahun akan datang.
"Permintaan untuk rumusan bandar pintar terus meningkat di tengah-tengah usaha pendigitalan yang berterusan.
"Sistem bandar pintar terdorong data kami telah terbukti memainkan peranan penting dalam membantu pihak berkuasa menangani cabaran kritikal an kami akan terus memperhalusi sistem bagi memenuhi keperluan pelanggan, memastikan kami menyumbang bagi meningkatkan kualiti hidup untuk komuniti," katanya. - DagangNews.com