KUALA LUMPUR 26 Sept - JKG Land Bhd kembali mencatatkan keuntungan sebanyak RM17.9 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2024 (2QFY25) berbanding kerugian RM300,000 pada suku sama tahun sebelumnya didorong prestasi lebih baik dalam segmen pembangunan hartanah.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil kumpulan itu juga melonjak kepada RM96.9 juta berbanding RM39.8 juta pada 2QFY24.
Katanya, bagi segmen pembangunan hartanah, kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM95.1 juta bagi suku semasa mewakili peningkatan sebanyak 146.8% berbanding hasil yang dilaporkan pada suku tahun sama tahun sama tahun sebelumnya.
"Keuntungan operasi segmen itu lebih tinggi sebanyak 528.3% berbanding keuntungan operasi yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.
"Peningkatan dalam hasil dan keuntungan operasi terutamanya disebabkan tahap kemajuan kerja yang dicapai untuk Fasa 2 projek Era serta perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah untuk suku semasa," katanya.
Bagi tempoh enam bulan bulan berakhir 31 Julai 2024 (6MFY25) kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM26.3 juta berbanding RM1.9 juta bagi suku sama tahun sebelumnya disokong peningkatan hasil sebanyak RM153 juta berbanding RM60.4 juta pada 6MFY24.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, pasaran hartanah dijangka kekal berdaya tahan di sebalik prospek ekonomi yang positif dan sentimen pengguna dengan dinamik pasaran dijangka terus dipengaruhi oleh lokasi pembangunan serta kemajuan projek infrastruktur yang akan datang.
Katanya, permintaan untuk projek kumpulan di Kulim, Kedah kekal menggalakkan manakala Era Fasa 2 di Kuala Lumpur yang telah mencapai jualan sebanyak 80% sedang berjalan dengan baik.
"Selain itu, kumpulan telah berjaya melancarkan projek baharu di wilayah utara pada Julai 2024.
"Fasa baharu itu dibangunkan di Taman Puteri, menampilkan 173 unit rumah teres satu tingkat yang terletak di Padang Serai, Kulim Kedah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM35.5 juta," katanya.- DagangNews.com