KUALA LUMPUR 8 Jan - Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi besar meningkatkan pekerjaan di Johor namun penganalisis memberi penekanan terhadap kejelasan mengenai insentif cukai dan insentif lain yang diperlukan bagi menarik lebih ramai pelabur ke zon ekonomi itu.
OCBC Research berkata, pihak berkuasa Malaysia dijangka memperkenalkan pakej insentif cukai untuk JS-SEZ, yang mungkin menawarkan kadar cukai korporat khas kepada syarikat yang membuat pelaburan baharu kerana ia penting untuk pelabur menilai daya tarikan zon itu.
Selain Sistem Transit Rapid (RTS) Johor-Singapura yang dijangka beroperasi pada penghujung 2026, firma penyelidikan itu menekankan kepentingan kemajuan yang jelas dalam meningkatkan infrastruktur fizikal di Johor.
Penambahbaikan dalam sambungan jalan raya, bas dan rel diperlukan, kerana ia akan meningkatkan lagi daya tarikan rantau ini.
Katanya, penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre-Johor (IMFC-J) tepat pada masanya adalah penting untuk memanfaatkan faedah awal yang dijana oleh JS-SEZ.
"Secara keseluruhan, kami kekal optimistik tentang prospek JS-SEZ, walaupun usaha besar sebegini sudah pasti akan menghadapi cabaran namun kami melihat ini sebagai kerja dalam proses, dengan pelarasan dibuat untuk memenuhi keperluan pelabur dengan lebih baik," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, perjanjian mewujudkan JS-SEZ dimeterai antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong di Putrajaya semalam dengan penubuhannya bertujuan mengukuhkan perdagangan dan kesalinghubungan antara Malaysia dan Singapura, menggalakkan pemindahan teknologi, dan merangsang pertumbuhan merentas pelbagai sektor.
Industri tumpuan utama untuk JS-SEZ termasuk logistik, perkhidmatan kewangan dan perniagaan, pelancongan, keselamatan makanan, pendidikan, penjagaan kesihatan, ekonomi digital, tenaga dan pembuatan, dengan sasaran mewujudkan 20,000 pekerjaan mahir dalam tempoh lima tahun pertama.
Sementara itu, MIDF Research berkata, peningkatan aktiviti ekonomi di Johor, negeri keempat terbesar di negara ini mengikut saiz ekonomi, akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan, yang membawa kepada prospek pekerjaan yang lebih baik.
“Peluang pekerjaan akan mewujudkan diaspora ke arah rantau JS-SEZ, yang berpotensi merangsang penggunaan di rantau ini. Kami fikir ia akan mengalir kepada perniagaan kecil dan mikro yang berkembang di rantau ini, kerana populasi dijangka meningkat disebabkan oleh peningkatan dalam aktiviti perniagaan,” katanya.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) juga menyerlahkan potensi JS-SEZ bagi memanfaatkan kepakaran kewangan dan logistik global Singapura, digabungkan dengan kelebihan daya saing Johor dalam tanah, buruh dan tenaga.
Katanya, ia boleh menawarkan cadangan yang berbeza, terutamanya untuk rantaian bekalan yang mencari alternatif kepada Asia Utara di tengah-tengah ketegangan perdagangan AS-China yang berterusan.
Dalam pada itu, RHB Investment berkata, Malaysia dijangka menubuhkan dana sokongan infrastruktur berkaitan JS-SEZ manakala Singapura akan mereka bentuk sokongan pembiayaan bagi memudahkan pengembangan syarikat Singapura dalam zon ekonomi itu.
Katanya, sektor yang akan menerima manfaat termasuk logistik, elektrik dan elektronik serta pembuatan – di tengah-tengah keperluan untuk membina bangunan perindustrian seperti hab logistik dan kilang.
"Walaupun tiada maklumat terkini mengenai sama ada Transit Aliran Ringan (LRT) atau Sistem Transit Aliran Autonomi akan dilaksanakan di Johor, kami tidak menolak kemungkinan sebarang jenis sistem pengangkutan awam akan disepadukan antara Johor Bahru dan Singapura bagi memudahkan pergerakan orang ramai," katanya. - DagangNews.com