KUALA LUMPUR 13 Nov - Jualan kenderaan baharu di Malaysia menyusut 8.3% pada Oktober 2024, berbanding tahun sebelumnya, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
MAA berkata, sebanyak 69,859 unit kenderaan baharu terjual pada bulan lepas berbanding dengan 76,173 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.
Persatuan itu juga berkata pada Oktober 2024, 64,322 unit kenderaan penumpang telah dijual, jatuh 6% daripada 68,721 unit yang dijual pada Oktober 2023, manakala jualan kereta komersial merosot 26% kepada 5,537 unit daripada 7,452 unit.
"Jualan kenderaan baharu meningkat 2% kepada 664,002 unit dalam tempoh 10 bulan pertama 2024, berbanding 648,130 unit dalam tempoh yang sama pada 2023.
"Sementara itu, sebanyak 71,196 kenderaan dikeluarkan pada Oktober 2024, penurunan 4% berbanding 74,191 unit pada Oktober 2023," katanya dalam satu kenyataan.
Di samping itu, volum industri (TIV) mencapai 58,032 unit pada bulan lalu, mewakili kenaikan 20% berbanding September 2024.
Katanya, peningkatan itu dipacu oleh kempen promosi akhir tahun pengeluar kereta dan bulan bekerja yang lebih panjang.
"Momentum jualan akan berterusan pada November 2024 dan kami menjangkakan penjualan yang lebih tinggi pada bulan hadapan berbanding Oktober 2024," kata MAA.- DagangNews.com