KUALA LUMPUR 18 Okt - Jumlah jualan dalam sektor automotif dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang berikutan pesanan tertunggak yang tinggi untuk Perodua dan kempen jualan agresif yang dilancarkan oleh pelbagai pengeluar peralatan asli (OEM).
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, pengukuhan ringgit baru-baru ini memberi petanda baik untuk sektor itu kerana ia berpotensi mengimbangi persekitaran kos operasi yang lebih tinggi pada suku keempat 2024.
"Kami juga mendapati pelancaran yang lebih agresif oleh OEM China dengan harga dan ciri yang menarik, yang akan memberikan saingan sengit kepada OEM sedia ada," katanya dalam satu nota kajian.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan jumlah volum industri (TIV) yang lemah pada September dengan 58,000 unit, turun 13.4% dari tahun ke tahun, terutamanya terjejas oleh penutupan kilang akibat penyelenggaraan yang dirancang dan penghantaran jualan yang lebih perlahan untuk OEM tertentu pada bulan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Jualan kenderaan susut 15% pada September 2024 kepada 58,032 unit - MAA
Bagaimanapun, TIV mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.9% dari tahun ke tahun sehingga September 2024, terutamanya didorong rantaian bekalan yang lebih baik dan penghantaran untuk model Perodua dan jualan Honda yang lebih kukuh untuk model yang baharu dilancarkan.
HLIB mengekalkan unjuran TIV untuk 2024 sebanyak 760,000 unit dengan potensi peningkatan, memandangkan pesanan tertunggak yang masih tinggi untuk Perodua dan aktiviti jualan yang lebih agresif oleh pelbagai OEM pada suku keempat 2024.
Pilihan utamanya ialah DRB-Hicom Bhd (Beli, TP:RM1.55) dan MBM Resources Bhd (Beli, TP: RM6.80) berdasarkan kelebihan mereka ke atas OEM nasional, iaitu Proton dan Perodua, yang kurang tertakluk kepada tekanan kompetitif untuk penetapan harga di bawah segmen RM100,000 dan potensi pertumbuhan eksport dalam jangka panjang.- DagangNews.com