KUALA LUMPUR 13 Jan - Kadar purata pengangguran bagi 2025 diramal berada pada kadar 3.1%, disokong pertumbuhan permintaan domestik yang stabil, kata penganalisis.
Kenanga Research berkata, ia juga disokong pengembangan guna tenaga yang teguh dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan serta peningkatan pelaburan yang diluluskan.
Katanya, jangkaan ketibaan pelancong yang lebih tinggi tahun ini, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 akan membantu meningkatkan pengambilan pekerja.
"Purata kadar pengangguran adalah 3.3% bagi 11 bulan 2024 dengan suku keempat tahun lalu berkemungkinan mencatatkan kadar pengangguran suku tahunan terendah sejak suku keempat 2019.
"Kami telah menyemak semula kadar pengangguran 2025 kepada 3.1% daripada 3.2% yang diunjurkan sebelum ini, berdasarkan pertumbuhan domestik yang stabil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Bilangan pengangguran menurun kepada 546,700 atau 3.2% pada November 2024 - DOSM
Terdahulu, prestasi ekonomi Malaysia terus kukuh menjelang penghujung tahun 2024 membawa kepada kedudukan pasaran buruh negara yang semakin stabil pada November 2024.
Bilangan tenaga buruh pada November 2024 terus mengukuh dengan kenaikan sebanyak 0.1% merekodkan 17.29 juta orang (Oktober 2024: 17.27 juta orang).
Kadar penyertaan tenaga buruh tidak berubah iaitu pada 70.5%, seperti yang direkodkan pada bulan lalu.
Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pasaran pekerjaan berada dalam keadaan baik ditambah dengan langkah Belanjawan 2025 bagi menaikkan pendapatan pekerja dengan Fasa 1 kenaikan gaji kakitangan awam pada 1 Disember 2024 dan kenaikan gaji minimum RM1,700 pada 1 Februari 2025, petanda baik untuk prospek perbelanjaan pengguna.
Oleh itu, kami menjangkakan penggunaan swasta sebenar berkembang lebih cepat 5.8% pada 2025 (2024: +5.2%).
"Segmen pekerjaan tidak formal dalam ekonomi iaitu "Pekerja Akaun Sendiri" telah berada dalam aliran meningkat berterusan sejak Januari 2021 (2.39 juta) untuk mencapai jumlah baharu 3.11 juta pada November 2024 (September 2024: 3.1 juta) kerana pertumbuhannya mengatasi jumlah pertumbuhan guna tenaga," katanya. - DagangNews.com