Kerajaan anggar aset di bawah pengurusan cecah sehingga RM1.2 bilion bagi 5 tahun pertama pelaksanaan Skim Pejabat Keluarga | DagangNews Skip to main content

Kerajaan anggar aset di bawah pengurusan cecah sehingga RM1.2 bilion bagi 5 tahun pertama pelaksanaan Skim Pejabat Keluarga

KUALA LUMPUR 5 Nov - Kerajaan menganggarkan julat aset di bawah pengurusan (AUM) cecah antara RM500 juta hingga RM1.2 billion bagi tempoh lima tahun pertama pelaksanaan Skim Pejabat Keluarga dengan sasaran menarik keluarga dari dalam negara, serantau dan rantau luar seperti Asia Barat.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, daripada anggaran itu, julat pelaburan tempatan pula disasarkan sekurang-kurangnya antara RM40 juta hingga RM110 juta yang akan disalurkan ke dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.

 

“Pejabat Keluarga juga merupakan pemangkin pembangunan modal insan serta penggandaan ekonomi.

 

“Melalui syarat substantif tempatan seperti gaji minimum sebanyak RM10,000, pejabat fizikal, perbelanjaan tempatan sekurang-kurangnya RM500,000 dan pelaburan tempatan sekurang-kurangnya 10% daripada AUM, pejabat keluarga merancakkan peluang ekonomi baharu untuk sektor perkhidmatan professional tempatan sekali gus merangsang penggandaan ekonomi,” katanya Ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan sasaran kerajaan dalam menarik lebih banyak Pejabat Keluarga atau firma pengurusan individu kaya untuk beroperasi di Malaysia.

 

Menteri Kewangan turut diminta untuk menyatakan bilangan dan nilai pelaburan yang dijangka dalam tempoh lima tahun, pasaran utamanya serta insentif yang akan disediakan untuk meningkatkan daya saing negara.

 

Amir Hamzah berkata, situasi itu akan menggalakkan aliran global yang mana sektor pertumbuhan Pejabat Keluarga dianggarkan meningkat sebanyak 75% menjelang 2030.

 

“Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) juga menganggarkan julat penggandaan ekonomi sekurang-kurangnya antara tiga kali ganda dan lima kali ganda daripada jumlah pelaburan tempatan dan perbelanjaan tempatan dalam lima tahun pertama.

 

“Sebagai syarat kelayakan kepada insentif yang diberikan kepada Pejabat Keluarga, mereka perlu memenuhi syarat pelaburan tempatan setiap tahun dan perbelanjaan tempatan seperti mana yang telah ditetapkan,” katanya.

 

Sementara itu, menerusi soalan tambahan, Hong Pin turut bertanya bagaimana kerajaan dapat memastikan penubuhan Skim Pejabat Keluarga ini dapat memberikan manfaat kepada industri tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Menjawab soalan tersebut, Amir Hamzah berkata Skim Pejabat Keluarga Tunggal (SFO) yang bermula di Forest City Special Financial Zone (SFZ), Johor, telah meletakkan syarat pelaburan tempatan sekurang-kurangnya 10% daripada AUM.

 

Selain itu, katanya, pelaburan ke dalam PKS juga telah dikenal pasti sebagai salah satu pelaburan yang digalakkan di bawah SKIM SFO untuk memangkinkan aliran modal alternatif kepada PKS. - DagangNews.com