Kerajaan dijangka terus fokus kepada usaha meningkatkan kadar penggunaan EV - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kerajaan dijangka terus fokus kepada usaha meningkatkan kadar penggunaan EV - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Okt - RHB Investment menjangkakan kerajaan terus memberi fokus kepada usaha meningkatkan kadar penggunaan kenderaan elektrik (EV) pada masa hadapan.

 

Katanya, usaha itu bagaimanapun memerlukan pembangunan ekosistem EV yang lebih luas dan memberi penekanan kepada insentif untuk menggalakkan penggunaannya seperti menyokong pemasangan stesen pengecas awam.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengecualian duti import dan eksais ke atas EV import (CBU) tidak akan dilanjutkan selepas penghujung 2025, kerana penekanan kemungkinan diberikan kepada menarik pengeluar peralatan asli atau OEM untuk mengeluarkan dan memasang EV mereka secara tempatan.

 

"Penampilan sulung EV e.MAS 7 pertama Proton bersama-sama dengan EV Perodua sendiri yang dijangka menjelang akhir 2025, kami percaya kerajaan mungkin mengutamakan insentif untuk menggalakkan EV pemasangan tempatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, pendaftaran EV baharu di negara ini meningkat 74% dari tahu ke tahun kepada 5,100 unit, menjadikan jumlah keseluruhan bagi Sembilan bulan tahun ini kepada 15,800 unit atau peningkatan 114% dari tahun ke tahun.

 

Katanya, ia membentuk 2.5% daripada jumlah pendaftaran kereta bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, berbanding 1.2% bagi tempoh sama tahun

 

"BYD masih mendahului penggunaan EV tempatan kerana ia menyumbang 37.7% daripada EV yang dijual bagi tempoh sembilan bulan 2024, manakala Tesla menduduki tempat kedua dengan 27.1% bahagian pasaran.

 

"Kami tidak menjangkakan bahagian pasaran EV meningkat dengan ketara selepas 2025, apabila paras harga RM100,000 pada EV CBU tamat tempoh dan EV mampu milik oleh pembuat kereta tempatan telah memasuki pasaran," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' kerana percaya sektor automotif dijangka menyaksikan prestasi jualan keseluruhan industry (TIV) yang lebih lemah berikutan penormalan volum jualan yang dijangkakan pada separuh kedua manakala ketidaktentuan mengenai pelaksanaan cukai mewah dan rasionalisasi subsidi petrol.

 

"Kami mengandaikan TIV pada 2024 sebanyak 790,000 unit dengan jualan pada separuh kedua tahun ini menyusut sebanyak 8% dari tahun ke tahun.

 

"Pilihan utama kami masih Bermaz Auto, disebabkan penilaiannya yang menarik dan hasil dividen purata yang lebih tinggi daripada sektor sebanyak 10%," katanya. - DagangNews.com