KUALA LUMPUR 3 Dis - Kerajaan akan mempermudah kelulusan kewangan rentas sempadan di bawah Dasar Pertukaran Asing bagi membolehkan aliran dana secara cekap mengikut saiz disasarkan dalam memastikan Malaysia kekal berdaya saing untuk menarik modal teroka asing.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, landskap modal teroka yang menarik di Malaysia akan menyaksikan lebih banyak syarikat pemula mengambil pekerja dengan pelbagai tahap kemahiran.
Katanya langkah itu akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat, terutama dalam industri bernilai tinggi.
"Pertumbuhan ini menggalakkan usaha pembangunan dan peningkatan kemahiran bakat secara berterusan, mengukuhkan tenaga kerja dan ekonomi selain meningkatkan kedudukan rakyat dalam sosioekonomi," katanya ketika berucap merasmikan acara Malaysia Venture Forum 2024 seperti laporan Bernama.
Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan landskap dana yang pelbagai dengan penyertaan semua penggiat ekosistem seperti syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), pelabur sektor swasta dan syarikat pemula dalam mendorong ekosistem modal teroka Malaysia selain mempercepat perkembangannya.
"Data Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menunjukkan cabaran kritikal dalam landskap modal teroka negara kita iaitu kebergantungan berlebihan terhadap pembiayaan berkaitan kerajaan," katanya.
Pada 2022, agensi kerajaan dan dana kekayaan berdaulat menyumbang hampir dua pertiga atau 63 peratus daripada jumlah pembiayaan modal teroka.
Amir Hamzah berkata, walaupun keadaan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam melahirkan syarikat pemula, ia pada masa sama turut memperlihatkan jurang yang perlu ditangani bagi memastikan kemampanan dan kekuatan ekosistem berkenaan.
"Ekosistem yang bergantung hanya kepada pendanaan awam, akan lebih bergelut untuk matang secara menyeluruh.
"Kebergantungan ini tidak hanya mengehadkan trajektori pertumbuhan penuh syarikat pemula, tetapi turut mengurangkan tarikan Malaysia dalam kalangan pemodal teroka antarabangsa yang berpengalaman," katanya.
Beliau berkata, di sebalik usaha negara mengembangkan serta mengukuhkan ekosistem modal teroka, terdapat beberapa cabaran yang perlu ditangani termasuk risiko berkaitan pelaburan perniagaan yang berteraskan inovasi.
"Kita perlu akui ada pelaburan yang tidak dapat memenuhi sasaran yang diharapkan. Inilah sebahagian ciri-ciri ekosistem modal teroka yang dinamik. Ini tidak harus menghalang kita daripada mengambil langkah berani.
"Kita perlu melihatnya sebagai peluang untuk mengukuhkan rangka kerja tadbir urus, memperkemas strategi dan mengukuhkan keazaman bagi menyokong syarikat pemula yang berpotensi mengubah ekonomi kita," ujarnya.
Amir Hamzah turut mengulangi komitmen kerajaan untuk kekal kukuh menyokong ekosistem modal teroka dan menggalakkan semua pihak berkepentingan iaitu pelabur, usahawan dan orang ramai untuk lebih yakin dengan institusi tempatan.
Beliau berkata, kerangka Ekonomi MADANI juga menetapkan modal teroka sebagai bidang tumpuan utama yang sejajar dengan hasrat Malaysia menaikkan siling ekonomi dan mengembangkan ekonomi negara.
"Usaha membangunkan ekosistem modal teroka dapat memacu perancangan syarikat inovatif dan pertumbuhan tinggi ke dalam indeks selain meningkatkan daya tarikan pasaran kepada pelabur," katanya. - DagangNews.com