Kerajaan rugi RM112.53 juta bagi pelupusan saham Astronautic Technology - Laporan Ketua Audit Negara | DagangNews Skip to main content

Kerajaan rugi RM112.53 juta bagi pelupusan saham Astronautic Technology - Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR 14 Okt - Kerajaan Persekutuan mengalami kerugian berjumlah RM112.53 juta bagi pelupusan saham Astronautic Technology (M) Sdn Bhd, melibatkan nilai nominal saham berjumlah RM112.58 juta telah dijual pada harga RM50,000.

 

Pelupusan saham Astronautic Technology pada nilai nominal RM50,000 adalah berdasarkan nilai bersih semasa, dengan segala aset dan liabiliti syarikat tidak dikenakan surcaj.

 

Sehubungan itu, pelupusan tersebut adalah berdasarkan penurunan nilai muhibbah sahaja, menurut Analisis Kewangan Kerajaan Persekutuan.

 

"Pelupusan saham berkenaan telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Ogos 14, 2019.

 

“Ini adalah kerana tiada keperluan strategik untuk Kerajaan Persekutuan terus memiliki syarikat Astronautic Technology dalam agenda memperkasa industri angkasa negara melalui pembangunan satelit penderiaan jauh," kata laporan itu.

 

Astronautic Technology ialah syarikat milik penuh kerajaan Malaysia di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, yang diselia oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

 

Mandat utamanya adalah untuk membangunkan teknologi angkasa lepas dan satelit yang memfokuskan dalam penyelidikan dan pembangunan yang menggunakan teknologi canggih serta inovatif untuk industri angkasa lepas. - DagangNews.com