Pensonic gesa kerajaan pertimbang pemberian modal dalam Belanjawan 2025, galak pengilang tempatan terima teknologi AI | DagangNews Skip to main content

Pensonic gesa kerajaan pertimbang pemberian modal dalam Belanjawan 2025, galak pengilang tempatan terima teknologi AI

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Okt - Pengeluar dan pengedar peralatan elektrik rumah, Pensonic Holdings Bhd menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian perbelanjaan modal (capex) dan insentif cukai yang akan menggalakkan pengilang tempatan untuk menerima teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan sistem automasi.

 

"Kami mengesyorkan kerajaan menawarkan kadar cukai khas atau rebat untuk pengilang tempatan yang akan memastikan jenama Malaysia mengekalkan kelebihan daya saing mereka berbanding pesaing antarabangsa dalam ruang pembuatan.

 

"Kami juga menggesa kerajaan memperkenalkan kadar elaun modal dipercepatkan khas (ACA) untuk alat perkilangan yang digunakan dalam pengeluaran produk elektrik bagi membolehkan pengilang tempatan menghapuskan pelaburan dalam mesin dengan cepat, menggalakkan kemajuan teknologi selanjutnya dan meningkatkan produktiviti dalam sektor itu," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Selaras dengan membina ekosistem pembuatan mampan, Pensonic juga menggesa kerajaan mengambil peranan yang lebih aktif sebagai pelabur.

 

Katanya, dengan menubuhkan dana pelaburan disokong kerajaan yang  menyokong pengilang Malaysia, kerajaan boleh membantu memacu pengembangan jenama tempatan ke pasaran global.

 

Menurut Pensonic, pembinaan ekosistem pelaburan itu perlu merangkumi program peningkatan kemahiran, pembangunan infrastruktur dan akses kepada rangkaian pengedaran global.

 

"Dengan menangani jurang ini, Malaysia boleh membina ekosistem pembuatan bersepadu sepenuhnya yang membolehkan jenama tempatan mengatasi cabaran dalam mengeksport dan meningkatkan produk mereka ke pasaran antarabangsa.

 

"Kami juga menekankan memberi sokongan terhadap jenama Malaysia dalam penskalaan global, adalah penting dalam menangani halangan birokrasi yang menghalang pertumbuhan.

 

"Dalam pada itu, kami mencadangkan kerajaan menubuhkan pasukan petugas khusus untuk mempercepatkan proses kelulusan bagi perniagaan yang mempunyai potensi pertumbuhan global yang tinggi," katanya. 

 

Syarikat tersebut turut berkata, kerajaan harus menawarkan rebat atau potongan cukai untuk perbelanjaan pemasaran digital memandangkan peranan e-dagangyang semakin penting dalam perdagangan moden.

 

Katanya, ini akan menggalakkan syarikat tempatan untuk melabur dalam mengembangkan kehadiran digital mereka serta membantu jenama tempatan mengakses pasaran global dan memanfaatkan peluang e-dagang dengan lebih berkesan.

 

Sementara itu, Pensonic juga berkata, mengenai persaingan peringkat global, kerajaan harus memberi sokongan kepada syarikat tempatan melalui pengurangan kadar kastam eksport dan potongan cukai yang diperluaskan untuk eksport. - DagangNews.com