KIP REIT peroleh kelulusan pengambilalihan pusat beli-belah DPulze berharga RM320 juta | DagangNews Skip to main content

KIP REIT peroleh kelulusan pengambilalihan pusat beli-belah DPulze berharga RM320 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Okt - KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) memperoleh kelulusan pemegang saham untuk memperoleh DPulze Shopping Centre di Cyberjaya pada harga RM320 juta.

 

Syarikat pelaburan hartanah itu juga menerima kelulusan untuk penempatan persendirian sehingga 180 juta unit baharu, mewakili kira-kira 29.1% daripada unit terbitan sedia ada, untuk membiayai sebahagian pengambilalihan itu.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini selepas mesyuarat agung tahunan dan luar biasanya berkata, ia menjangkakan pelaksanaan penempatan persendirian itu akan mengumpul sehingga RM146.7 juta dalam kutipan kasar.

 

"Daripada 180 juta unit baharu itu, sehingga 9 juta unit akan diperuntukkan kepada pemegang unit utama KIP REIT, Datuk Ong Kook Liong dan sehingga enam juta unit kepada Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong Pui Shan,” katanya.

 

Valerie berkata, pengambilalihan itu menandakan pelaburan terbesar mereka dan akan mengukuhkan lagi portfolio runcit KIP REIT.

 

“Berdasarkan pendapatan bersih hartanah sebanyak RM22.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024, hasil daripada hartanah itu dijangka menjana 7.1%.

 

"DPulze disewakan 100% dan setelah selesai pengambilalihan, yang dijadualkan secara tentatif menjelang suku pertama 2025, kami menjangkakan pengembalian sewa yang lebih tinggi, sekali gus menyumbang kepada pendapatan yang lebih tinggi dan kestabilan pendapatan jangka panjang," kata Valerie.

 

Berikutan pembelian ini, bersama lima cadangan pengambilalihan lain, termasuk empat aset perindustrian dan pasar raya besar di Gerik, Perak, jumlah penilaian hartanah pelaburan KIP REIT dijangka mencecah hampir RM1.5 bilion, dengan kawasan boleh disewa bersih meningkat sebanyak 49.5% kepada 28.89 hektar.

 

Valerie juga berkata, KIP REIT kekal komited terhadap strateginya untuk mengembangkan jumlah aset di bawah pengurusannya kepada RM2 bilion pada tahun-tahun akan datang sambil memberikan pulangan yang mampan dan konsisten kepada pemegang unit.  - DagangNews.com