KUALA LUMPUR 12 Nov - KKB Engineering Bhd dijangka menerima manfaat besar daripada perbelanjaan pembangunan Sarawak berjumlah RM10.8 bilion untuk 2025 berdasarkan rekod prestasi cemerlangnya dalam beberapa projek kerajaan.
RHB Investment berkata, antara projek yang mereka terlibat termasuk Empangan Bakun, hangar Lapangan Terbang Miri, pembangunan semula Lapangan Terbang Kuching, Lebuhraya Pan Borneo dan Sarawak Program Grid Bekalan Air.
"Kami juga tidak menolak potensi KKB untuk meraih pekerjaan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) daripada projek hidrogen yang akan datang di Sarawak seperti H2biscus, dengan kerja-kerja EPC akan bermula selepas keputusan pelaburan akhir yang disasarkan pada suku keempat 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, hasil bagi 3QFY24 kumpulan itu meningkat kepada RM143.1 juta berbanding RM140.1 juta pada 3QFY23.
Katanya, hasil kumpulan bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24) meningkat 32.1% kepada RM402.7 juta berbanding RM304.9 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih KKB Engineering pada 3QFY24 susut kepada RM8.43 juta kesan kelemahan bahagian pembuatan
Firma penyelidikan itu berkata, pada akhir suku ketiga 2024, buku pesanan tertunggak kumpulan itu berjumlah RM165 juta dengan RM130 juta pekerjaan dimenangi alam tempoh 9MFY24 berbanding penambahan kerja FY24 terdahulu sebanyak RM300 juta.
Katanya, buku tender kumpulan berjumlah RM295 juta, dengan keputusan mungkin diketahui antara lewat suku keempat 2024 atau suku pertama 2025.
"Walaupun begitu, kumpulan itu sedang mengambil bahagian dalam bidaan tambahan bernilai RM350 juta menjelang akhir suku eempat 2024 di Sabah dan Sarawak – berpotensi membawa buku tender kepada RM645 juta menjelang akhir 2024.
"Hasil untuk tawaran tambahan mungkin diketahui pada akhir separuh pertama 2025," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.86 sesaham.- DagangNews.com