KLK berpeluang kembangkan perniagaan minyak sawit ke wilayah Afrika Utara, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

KLK berpeluang kembangkan perniagaan minyak sawit ke wilayah Afrika Utara, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) berpeluang mengembangkan perniagaan minyak sawit dan lemak khusus ke wilayah Afrika Utara dan sebahagian Asia Barat memandangkan masih terdapat pasaran yang kurang ditembusi, kata Kenanga Research.

 

Katanya, masih terdapat ruang untuk berkembang di kedua-dua rantau itu berikutan pasaran yang kurang ditembusi seperti Iraq dan Qatar, serta rantau Afrika Utara dan kawasan bersebelahannya.
 

Dilaporkan rantau itu menggunakan banyak minyak dan lemak dalam jumlah yang hampir sama dengan Asia Barat iaitu sekitar 5 juta ke 7 juta tan metrik setahun iaitu kira-kira satu pertiga daripada pengeluaran tahunan Malaysia.

 

"Kami juga mengalu-alukan langkah untuk memberi lebih fokus kepada produk khusus kerana segmen produk bertapis pukal kini sangat kompetitif disebabkan oleh lebihan kapasiti di rantau Asia Tenggara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KLK bekerjasama dengan Alami Commodities pasarkan minyak sawit, lemak khusus ke pasaran Asia Barat

 

Firma penyelidikan itu berkata, rekod prestasi KLK adalah baik dengan kunci kira-kira stabil dan kumpulan itu masih dalam mod pengembangan.

 

Bagaimanapun katanya, pendapatan industri hilirannya menghadapi lebih banyak cabaran daripada biasa.

 

Kenanga Research menjangkakan kumpulan itu berdepan beberapa cabaran dalam proses pengebangan itu termasuk persepsi negara Barat terhadap minyak sawit dalam isu kemampanan dan kepelbagaian biologi.

 

"Selain itu, mereka juga berdepan cabaran lain seperti kesan cuaca serta kekurangan tenaga kerja semasa musim pengeluaran.

 

"Harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang lemah serta kos inflasi terutamanya melibatkan baja," katanya. 

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM21.00 sesaham.- DagangNews.com