KUALA LUMPUR 13 Jan - Penganalisis mempunyai pendapat berbeza mengenai kontrak pengeluaran aset bidang kecil (SFA PSC) Baram Junior Cluster (BJC) Dialog Group Bhd bernilai AS$235 juta yang telah menerima keputusan pelaburan terakhirnya.
AmInvestment berkata tiada pembayaran tambahan bagi model SFA PSC, justeru Dialog dijangka mendapat manfaat sepenuhnya daripada sebarang kenaikan harga minyak melebihi paras asas yang ditetapkan.
“Kami meramalkan Dialog menampung pembelanjaan modal RM1.1 bilion berdasarkan kedudukan kunci kira-kira yang kukuh dan dijangka menyaksikan penggearan bersih meningkat kepada 0.22 kali pada tahun kewangan 2027 (FY27)," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Kontrak yang ditandatangani dengan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) melalui Dialog dengan kerjasama Petroleum Sarawak Exploration and Production (PSEP) pada 17 Januari 2023 itu telah mendapat kelulusan daripada PETRONAS pada 8 Januari 2025.
Kontrak 14 tahun itu menggariskan fasa pembangunan dua tahun, diikuti dengan 10 tahun pengeluaran dan bakal mengeluarkan minyak pertama pada awal 2027.
“Kami melihat kemenangan kontrak itu secara positif walaupun potensinya kecil, kami mengekalkan panggilan "tahan" ke atas Dialog dengan harga sasaran (TP) RM2 sesaham," katanya.
Sebaliknya, Kenanga Research mengekalkan saranan "outperform" terhadap Dialog dengan TP RM3.37 sesaham.
Katanya, Dialog mampu menguruskan risiko kontrak tersebut berdasarkan kejayaan projek kumpulan yang lepas.
"Pendapatan Dialog juga berada pada trajektori menaik, didorong oleh kadar penggunaan yang lebih baik dan kadar spot di terminal tangki bebasnya disebabkan peningkatan permintaan yang berterusan di serantau untuk penyimpanan.
“Penyiapan kontrak legasi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) juga harus membuka jalan untuk margin EPCC yang lebih baik pada suku akan datang.
"Kami percaya SFA PSC boleh memberikan rangsangan kepada syarikat,"katanya dalam satu nota kajian.
Sementara tu, Kenanga berkata, bahawa sebaik sahaja butiran lanjut mengenai projek itu disediakan, ia akan menilai semula saham Dialog. - DagangNews.com