Kontrak terbaharu lonjak buku pesanan T7 Global kepada RM3.5 bilion - Phillip Capital | DagangNews Skip to main content

Kontrak terbaharu lonjak buku pesanan T7 Global kepada RM3.5 bilion - Phillip Capital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Nov - Kontrak terbaharu yang diraih T7 Global Bhd daripada IPC Malaysia B.V untuk perkhidmatan luar pesisir pan-Malaysia menjadikan jumlah buku pesanan kumpulan kepada RM3.5 bilion.

 

Phillip Capital percaya, nilai kontrak untuk pakej kontrak terbaharu itu adalah lebih rendah berbanding Pakej ExxonMobil B2 (Guntong) yang dianugerahkan sebelum ini, dianggarkan dalam lingkungan RM300 juta hingga RM400 juta, yang membayangkan pendapatan tahunan RM60 juta hingga RM80 juta.

 

"Dengan mengandaikan margin keuntungan bersih sebanyak 9% (selaras dengan panduan pengurusan), kontrak itu dijangka menjana keuntungan selepas cukai antara RM5 juta hingga RM7 juta sepanjang 2025 hingga 2029 mewakili anggaran 10% hingga 13% ramalan pendapatan 2025.

 

"Kami menjangkakan aliran positif anugerah kontrak yang berterusan dalam minggu-minggu akan datang, dengan hanya enam daripada 18 pakej pembinaan, pengubahsuaian (MCM) dan perkhidmatan hook-up & pentauliahan (HUC)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: T7 Global terima kontrak daripada IPC Malaysia, sedia perkhidmatan penyelenggaraan dan pentauliahan

 

Terdahulu, kontrak itu melibatkan penyelenggaraan, pembinaan, pengubahsuaian serta perkhidmatan sambungan dan pentauliahan bagi pakej B3.

 

Kontrak itu bermula pada 25 Oktober 2024 dan berkuat kuasa selama lima tahun sehingga 24 Oktober 2029.

 

Ia mempunyai tambahan tiga tahun untuk lanjutan pertama dan dua tahun lagi untuk pilihan lanjutan kedua.

 

Firma penyelidikan itu tidak membuat perubahan pada ramalan pendapatan kerana kemenangan kontrak itu termasuk dalam andaian penambahan buku pesanan.

 

Katanya, kemenangan kedua kontrak Pan Malaysia itu mengukuhkan tinjauan positif terhadap prospek pendapatan T7, disokong buku pesanannya yang besar dengan keterlihatan pendapatan jangka panjang

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' pada harga 68 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com