KPJ diramal mencatatkan keputusan lebih kukuh pada 2025 didorong pertambahan bilangan pesakit - penganalisis | DagangNews Skip to main content

KPJ diramal mencatatkan keputusan lebih kukuh pada 2025 didorong pertambahan bilangan pesakit - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Nov - KPJ Healthcare Bhd yang melaporkan pendapatan tertinggi pada suku ketiga tahun kewangan semasa (3QFY24) sebanyak RM1bilion dijangka terus mencatatkan keputusan lebih baik didorong pertambahan bilangan pesakit dan gabungan kes pesakit yang lebih baik.

 

BIMB Securities berkata, kumpulan itu diramal mencatatkan keputusan sama baik atau lebih baik pada 4QFY24.

 

Katanya, penyedia penjagaan kesihatan menjangkakan pertamabahan pesakit untuk pemeriksaan dan prosedur perubatan lain kerana pesakit cenderung menangguhkan perkara sedemikian sehingga lewat tahun untuk menggunakan manfaat insurans tahunan mereka sebelum tamat tempoh.

 

Bagi tahun kewangan 2025 (FY25), firma penyelidikan itu menaikkan unjuran pendapatannya untuk KPJ sebanyak 8% dan untuk FY26 sebanyak 10% bagi mencerminkan keupayaan pesakit yang lebih tinggi dan sumbangan hasil lebih baik daripada lima hospital baharu.

 

“Kami kekal optimis mengenai KPJ, didorong tumpuan kukuhnya terhadap pengembangan organik.

 

“Bagaimanapun, kami percaya potensi saham untuk menaik selanjutnya adalah terhad, kerana pasaran telah pun menetapkan harga dalam jangkaan ini, dengan harga saham KPJ meningkat 82% dari  tahun ke tahun," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KPJ Healthcare catat hasil lebih RM1 bilion pada suku ketiga 

 

Syarikat penyelidikan itu mengekalkan panggilan "pegang" ke atas saham itu dengan harga sasaran (TP) RM2.11 sesaham.

 

Sementara itu, RHB Investment berkata, walaupun penilaian saham mungkin kelihatan mencabar, ia dianggap "adil" memandangkan perubahan struktur kekal yang menjejaskan sektor yang didorong populasi yang semakin tua.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “beli” ke atas KPJ, menaikkan TP kepada RM3 daripada RM2.13 sesaham.

 

"Penilaian KPJ layak mendapat premium kerana kisah pemulihannya yang kukuh dengan ruang untuk margin melebar daripada hospital yang matang,” katanya.

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak naik penarafannya kepada "beli" daripada "pegang" menyatakan rantaian hospital akan mengalihkan tumpuan kepada mengoptimumkan kapasiti  hospital sedia ada.

 

"Pada 2024, KPJ menyasarkan untuk menambah 368 katil, menjadikan jumlahnya sebanyak 4,101 katil.

 

“Melangkah ke hadapan, KPJ menyasarkan untuk mencapai 5,000 katil menjelang 2028. Inisiatif ini akan menyokong pertumbuhan organik KPJ sehingga 2028," katanya. - DagangNews.com