KUALA LUMPUR 15 Jan - Keputusan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk berdagang dalam saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyasar untuk menjana pendapatan yang diperlukan bagi pembayaran dividen sepanjang tahun kewangan.
KWSP berkata, keputusannya sejajar dengan objektif pelaburan kumpulan yang lebih luas.
"Keputusan kumpulan membuat tawaran am sukarela bagi saham MAHB pada harga RM11 sesaham merupakan sebahagian daripada rancangan strategik mencapai pertumbuhan kumpulan dan menjana pulangan mampan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, KWSP juga melaksanakan dasar "Chinese Wall" bagi memastikan pengurus dana tidak mempunyai akses kepada sebarang maklumat penting yang tidak didedahkan kepada umum seperti tawaran pemerolehan yang mungkin berlaku.
"Dasar ini berfungsi sebagai penghalang maklumat antara jabatan berbeza dalam KWSP dengan menghalang pendedahan maklumat penting yang tidak didedahkan kepada umum dan mengekalkan integriti aktiviti pasaran," katanya.
KWSP, seperti kebanyakan pelabur institusi besar yang menguatkuasakan polisi "Chinese Wall", memisahkan pasukan yang mengendalikan perkongsian strategik atau berurusan dengan transaksi sulit, manakala pasukan berasingan menguruskan pelaburan dalam ekuiti awam.
Dasar ini menetapkan sempadan yang ketat antara pasukan yang mempunyai akses kepada maklumat yang tidak didedahkan kepada umum dan pasukan yang berurusan di pasaran awam.
"Polisi ini bagi memastikan keputusan yang dibuat oleh pengurus dana hanya berdasarkan maklumat yang tersedia secara terbuka, mengelakkan sebarang kelebihan tidak adil atau dagangan orang dalam.
"Ini melindungi integriti operasi KWSP dan mengekalkan kepercayaan dalam amalan tadbir urusnya," katanya.
KWSP menjadi pemegang saham MAHB sejak 30 November 1999, apabila syarikat itu disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada RM2.50 sesaham.
Selama 24 tahun, KWSP telah menguruskan pelaburannya dalam MAHB berdasarkan rangka kerja yang jelas dan strategi jual beli saham yang teliti bagi memastikan pulangan optimum untuk ahlinya. - DagangNews.com