KUALA LUMPUR 19 Dis - Penyedia perkhidmatan kemudahan teknologi maklumat (IT) terbesar di dunia, Kyndryl membuka pejabat baharu di Kuala Lumpur, menegaskan komitmennya terhadap pelanggan tempatan dan mempercepat usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pembaharuan sistem komputer utama di ASEAN.
Pejabat baharu itu akan menempatkan operasi Kyndryl di Malaysia dan menyokong misi syarikat untuk memberi sumbangan kepada ekonomi digital negara.
Sebagai peneraju global dalam mengurus dan memperbaharui sistem IT kritikal dunia, Kyndryl sedang melabur dalam kemahiran tempatan dan membangunkan keupayaan pelanggan dalam bidang utama seperti automasi, awan, kecerdasan buatan dan keselamatan siber serta daya tahan.
Syarikat juga membina perkongsian strategik untuk menyediakan pelanggan di ASEAN dengan akses kepada pelbagai teknologi dan keupayaan.
Awal tahun ini, Kyndryl melancarkan Pusat Kecemerlangan Modernisasi Mainframe pertama ASEAN di Malaysia yang menyediakan panduan strategik dan kepakaran komputer utama kepada perniagaan di seluruh ASEAN untuk membantu perusahaan mengemas kini, memodenkan dan memindahkan aplikasi komputer mereka ke persekitaran berasaskan awan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, keputusan Kyndryl memilih Malaysia sebagai pusat kecemerlangan serantau mereka menggambarkan landskap pelaburan tempatan yang baik.
Jelasnya, kehadiran Kyndryl akan membuka jalan untuk kerjasama strategik dengan syarikat lain, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dalam ekosistem industri, sejajar dengan Pelan Induk Industri Baharu 2030 (NIMP 2030).
"Kami berharap dapat menyokong pertumbuhan perniagaan Kyndryl dan mengalu-alukan lebih banyak syarikat untuk menubuhkan hab serantau mereka di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusan Negara, Kyndryl Malaysia dan Indonesia, Effendi Azmi Hashim berkata, beliau teruja untuk memimpin Kyndryl Malaysia dalam fasa evolusinya serta membantu pelanggan di seluruh ASEAN untuk mengurus dan memperbaharui sistem IT kritikal mereka.
"Saya menantikan untuk melihat pasukan kami berkembang dalam ruang kreatif ini sambil memberi tumpuan untuk memperluaskan keupayaan dan kepakaran Kyndryl di pasaran Malaysia," jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli menyifatkan, pembukaan pejabat baharu Kyndryl akan mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab yang berkembang pesat untuk perkhidmatan teknologi moden.
"Kyndryl membawa kepakarannya kepada perniagaan yang bergerak untuk mengoptimumkan aset digital mereka, memberi tumpuan kepada daya tahan siber dan penggunaan teknologi awan yang cekap, serta memanfaatkan data untuk AI.
"Yang paling penting, ia juga mendorong kemahiran digital berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia, menambah kecergasan pada landskap teknologi kami dan menyumbang kepada pertumbuhan serta peralihan negara," ujarnya. - DagangNews.com