KUALA LUMPUR 21 Jan - Selangor menyasarkan untuk menarik lapan juta pelancong dan menjana pendapatan sebanyak RM 11.7 bilion di bawah kempen Tahun Melawat Selangor 2025.
Menerusi Forum Pelancongan ASEAN 2025 (ATF 2025), Tourism Selangor memberi fokus kepada perkongsian strategik dan penciptaan pengalaman pelancongan inovatif.
Kempen yang bertemakan Surprising Selangor itu memaparkan pelbagai tarikan negeri tersebut, dari warisan budaya dan ekopelancongan, taman tema sehinggalah hidangan yang unik.
Destinasi utama yang dipamerkan di ATF 2025 termasuk Gombak Hulu Langat Geopark, SplashMania Waterpark, Sawah Padi Sekinchan, Sunway Resort Hotel, Eastin Hotel, Nazbell Cottage dan Selangor Fruit Valley.
Sempena pelancaran kempen Tahun Melawat Selangor 2025, lebih 250 jemputan dan wakil media dijemput menghadiri program FAM Trip selama tiga hari dua malam yang dilaksanakan untuk memaparkan tarikan pelancongan unik di Selangor.
Semasa majlis makan tengah hari program berkenaan, Aizat Amdan turut mempersembahkan lagu rasmi kempen, Surprising Selangor.
Delegasi dari seluruh ASEAN mewakili negara seperti Malaysia, Kemboja, Indonesia, Brunei, Singapura, Myanmar, Filipina, Thailand, Laos PDR dan Vietnam, berkumpul untuk ATF 2025, memupuk kerjasama serantau dan mengukuhkan hubungan pelancongan.
Acara itu menarik lebih 1,000 pembeli dan penjual, dengan Tourism Selangor menjangkakan hasil jualan yang signifikan semasa sesi TRAVEX.
Penyertaan Tourism Selangor disokong oleh kerjasama dengan pemain industri utama seperti DRB-Hicom Ez-Drive (AVIS Malaysia), Gamuda Land Leisure (GL Play), Padat dan Batik Air Malaysia.
Kerjasama tersebut menekankan komitmen negeri Selangor untuk membentuk hubungan dua hala dan melancarkan kempen yang dapat meningkatkan daya tarikan negeri berkenaan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Dato’ Ng Suee Lim berkata, ASEAN kekal penting bagi pertumbuhan pelancongan negeri.
Pada tahun 2023, Selangor menerima lebih 3.2 juta pelancong melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan 55,079 pelancong lagi melalui Subang Skypark, mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 220% dan 165% berbanding 2022.
Daripada jumlah itu, sejumlah 12.82% pelancong datang dari negara-negara ASEAN.
"Sempena pelancaran Tahun Melawat Selangor 2025, kami menjemput agensi pelancongan, syarikat penerbangan dan rakan media dari seluruh ASEAN untuk bekerjasama dengan kami.
"Bersama-sama, kita boleh mempamerkan kepelbagaian tawaran Selangor melalui pakej pelancongan yang menarik," katanya dalam satu kenyataan.
Dengan strategi yang kukuh dan pendekatan yang inovatif, Suee Lim berkata, Selangor berada pada kedudukan yang baik untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi utama di ASEAN. - DagangNews.com