Lebihan bekalan panel solar diramal kembali pulih pada 2025, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Lebihan bekalan panel solar diramal kembali pulih pada 2025, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Okt - Kenanga Research meramalkan lebihan bekalan dalam industri pembuatan panel solar akan kembali pulih pada 2025.  

 

Ia berikutan terdapat laporan menyatakan, pengeluar panel solar terkemuka dari China termasuk Longi Green Energy Technology Co Ltd, Tongwei Co Ltd dan JA Solar Holdings Co Ltd terus melaporkan kerugian atas pengembangan kapasiti yang berlebihan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemulihan boleh berlaku tahun depan, sementara pada masa yang sama ia juga dijangka pengeluar akan meletakkan asas untuk menyesuaikan kapasiti pembuatan mereka.

 

"Kami menjangkakan penyatuan industri dan penutupan kilang akan menyumbang kepada pengimbangan semula pasaran.

 

“Selain itu, pengeluar solar yang berpangkalan di China menghentikan pengeluaran di kilang Asia Tenggara mereka berikutan prospek eksport yang lemah berikutan kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas panel solar yang diimport dari China yang meningkat kepada 50% daripada 25% pada 1 Ogos 2024," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: AS mengenakan duti ke atas panel solar dari Asia Tenggara, termasuk Malaysia pada 9.13%

 

Kenanga Research berkata, Longi telah menghentikan semua lima barisan pengeluaran di kilangnya di Vietnam dan juga menggulung operasinya di Malaysia manakala Trina Solar Co Ltd menutup kilangnya di Thailand dan Vietnam.

 

Bagaimanapun, lebihan kapasiti masih kekal dan walaupun usaha pengilang baru-baru ini, firma penyelidikan itu berkata, bekalan global panel solar kekal berlebihan.

 

Kenanga Research mengekalkan unjurannya untuk purata harga modul solar pada 2024 untuk kekal secara relatifnya tidak berubah pada 10 sen AS per watt, berbanding 18 sen AS per watt pada 2023.

 

Firma penyelidikan itu menambah, perkembangan dalam senario tenaga boleh diperbaharui (RE) domestik diramal mengekalkan sektor itu sehingga sekitar 2028. - DagangNews.com