KUALA LUMPUR 11 Okt - Firma pembinaan dan kejuruteraan, Lim Seong Hai Capital Bhd memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) sebagai sebahagian daripada pemindahan penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Kumpulan itu kini dikawal oleh anak saudara taikun hartanah Johor, Tan Sri Lim Kang Hoo dari Ekovest Bhd dan Iskandar Waterfront City Bhd.
Menurut draf prospektusnya, IPO yang dicadangkan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 132 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 59 juta saham sedia ada pada harga yang akan ditentukan kemudian.
Secara keseluruhannya, IPO itu menawarkan pelabur sehingga 22.78% kepentingan dalam syarikat itu.
"Hasil daripada IPO akan digunakan sebagai modal kerja untuk projek pembinaannya. Buku pesanan tertunggak berjumlah RM1.06 bilion untuk projek bangunan, dan syarikat itu juga mempunyai RM532.09 juta yang belum dibilkan daripada kontrak kerja pembinaan dan kejuruteraan infrastruktur.
"Bahagian pembangunan hartanah pula akan menumpukan kepada penyampaian projek LSH Segar yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM395.86 juta, dan pelancaran RM1.15 bilion Lake Side Homes pada separuh kedua 2025," katanya.
Berpangkalan di Kuala Lumpur, kupulan itu tidak memperoleh sebarang hasil daripada penyenaraiannya di Pasaran LEAP pada 2021. Syarikat itu bagaimanapun memperoleh RM4.66 juta daripada pelabur pra penyenaraian yang merupakan pekerja dan sekutu luar syarikat itu, yang sejak itu hampir habis digunakan.
Selain daripada pembinaan dan pembangunan hartanah, syarikat juga membekalkan bahan binaan, pencahayaan dan produk mekanikal dan elektrik yang berkaitan, produk dan alatan perkakasan, penyewaan jentera pembinaan dan peralatan.
Dalam tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2024, syarikat itu memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM31.09 juta, dengan pendapatan RM215.1 juta.
Di bawah terbitan awam, IPO memperuntukkan 16.77 juta saham baharu kepada rakyat Malaysia, 12.58 juta kepada orang yang layak, dan 102.66 juta saham kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan, melalui penempatan persendirian.
Tawaran jualan melalui penempatan persendirian pula melibatkan 2.14 juta saham sedia ada kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan, dan 56.86 juta saham kepada pelabur institusi dan terpilih.
Hasil daripada penjualan saham sedia ada akan terakru sepenuhnya kepada pemegang saham, pengerusi Tan Sri KC Lim, naib pengerusi Datuk Lim Keng Guan, pengarah urusan Lim Pak Lian dan pengarah Lim Keng Hun, serta Lim Seong Hai Resources Sdn Bhd.
Keempat-empat mereka adalah adik beradik. Selepas penyenaraian, pegangan gabungan mereka akan dicairkan kepada sedikit di bawah 65%.
AmInvestment Bank Bhd merupakan penasihat utama IPO, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal.- DagangNews.com