KUALA LUMPUR 14 Nov - Magnum merupakan antara syarikat yang memegang saham dalam U Mobile, yang akan melaksanakan rangkaian 5G kedua dan merancang untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun depan.
Maybank IB berkata, jika U Mobile bernilai RM10 bilion, ia akan menambah 21 sen sesaham kepada Magnum.
"Kami menjangkakan Magnum membahagikan sahamnya dalam U Mobile kepada pemegang saham selepas penyenaraian.
"Kami mengunjurkan pendapatan aliran tunai terdiskaun (DCF) bagi Magnum akan susut 1% dan jumlah pulangan Magnum diunjurkan sebanyak 36%," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: U Mobile terpilih kendali 5G: Magnum Berhad turut sama raih `ONG'
U Mobile, yang merancang untuk disenaraikan di Bursa Malaysia itu menjadi tumpuan sejak akhir-akhir ini susulan pilihan sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara.
Ia juga telah dilaporkan untuk melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) tahun depan dengan penilaian sekurang-kurangnya RM10 bilion.
Magnum memegang 7.8% saham dalam U Mobile, Maybank IB berkata, pelaburan Magnum dalam syarikat telekomunikasi itu kini dibawa dalam akaunnya pada RM385.4 juta atau 20sen sesaham.
Katanya, harga saham itu akan dinaikkan kepada 21 sen jika IPO U Mobile mencecah RM10 bilion.
"Sebagai syarat untuk mendapatkan hak bagi melaksanakan rangkaian 5G kedua, U Mobile mesti mengurangkan pegangan saham asingnya kepada 20%.
"Memandangkan pegangan saham asingnya sebanyak 48% pada masa ini, kami menjangkakan pelancaran IPO U Mobile menawarkan sebahagian daripada tranche saham ini untuk dijual tanpa Magnum mencairkan pegangan sahamnya.
"Dengan mengandaikan U Mobile bernilai RM10 bilion, nilai yang ditambah kepada MAG ialah RM398.6 juta atau 21 sen sesaham.
"Ditambah dengan DCF-TP sebanyak RM1.33 sesaham, perkara di atas akan membayangkan pulangan sekurang-kurangnya 30%," kata Maybank IB. - DagangNews.com