Maru Kafe dijangka jadi pemacu pertumbuhan baharu MyNews, RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Maru Kafe dijangka jadi pemacu pertumbuhan baharu MyNews, RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Okt - Pembukaan cawangan Maru Kafe di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur oleh MyNews Holdings Bhd dijangka menjadi pemacu pertumbuhan baharu kepada kumpulan itu, kata RHB Investment.

 

Katanya, Maru Kafe membolehkan kumpulan itu memanfaatkan peningkatan permintaan untuk kopi dan makanan segar.

 

"Kafe ini menampilkan suasana yang selesa, santai, dilengkapi dengan perkhidmatan yang cekap, penyediaan pesanan pantas, dan pelbagai jenis tawaran makanan segar, dengan kopi lebih segar berbanding cawangan Mynews," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 81 sen menunjukkan potensi kenaikan 34% daripada harga semasa.

 

Pengurusan MyNews mengenal pasti lima lokasi untuk pengembangan Maru Kafe dalam tempoh empat hingga lima bulan akan datang, beberapa daripadanya akan terletak bersebelahan cawangan MyNews untuk meningkatkan keterlihatan jenama.

 

RHB Research berkata, dengan perbelanjaan modal (capex) yang rendah dan pelancaran yang berhati-hati bagi melihat respon pasaran, ia tidak meramalkan kerugian yang ketara daripada usaha niaga itu.

 

"Kami memahami Maru Kafe meletakkan dirinya dengan harga yang kompetitif di lokasi strategik, memanfaatkan peningkatan populariti tawaran kopi dan makanan segarnya," katanya.

 

Selain itu, dengan makanan Maru Kafe yang dibekalkan oleh pusat pemprosesan makanan (FPC) MyNews dan rancangan pembukaan 100 kedai MyNews dan CU baharu, kadar penggunaan FPC dijangka meningkat.

 

RHB Investment juga menjangkakan cawangan CU akan pulang modal pada tahun fiskal 2024 dan menyumbang kepada keuntungan pada tahun kewangan berikutnya.

 

MyNews melaporkan keuntungan bersih RM1.7 juta pada suku kedua berakhir 30 April 2024 hasil daripada peningkatan dalam jualan dan margin dalam kedai. Ia mencatatkan kerugian bersih RM6.3 juta bagi suku yang sama pada 2023.

 

Prestasi yang lebih baik adalah pada hasil 10.7% lebih tinggi sebanyak RM192.8 juta.

 

Keuntungan kasar meningkat RM13.28 juta atau 22.2%, daripada RM59.79 juta kepada RM73.07 juta, manakala margin meningkat kepada 37.9% daripada 34.3%.- DagangNews.com