Maybank Islamic dan Borong perkenal Salaam Market, Pasaran Halal B2B pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Maybank Islamic dan Borong perkenal Salaam Market, Pasaran Halal B2B pertama di Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau ruang pameran Salaam Market di Expo Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2024, baru-baru ini.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Dis - Penghimpun perisian dan platform e-dagang B2B, Macro Tech Ventures Sdn Bhd (Borong), memperkenalkan Salaam Market, Pasaran Halal B2B pertama di Malaysia, di Expo Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2024 (PIHEX) yang berlangsung pada 7 Disember lalu. 

 

Salaam Market merupakan hasil kerjasama strategik antara Borong dan Maybank Islamic Berhad, yang bertujuan menyumbang kepada kemajuan industri halal Malaysia, yang dijangka mencapai prospek pertumbuhan sebanyak RM510.70 bilion menjelang 2030. 

 

Sebagai platform menyeluruh, Salaam Market bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mendapatkan produk halal tempatan dengan mudah, selamat dan praktikal. 

 

Inisiatif itu merupakan langkah besar bagi usahawan PMKS yang ingin memperluaskan pasaran mereka, baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa, serta meletakkan Malaysia sebagai peneraju utama dalam pasaran halal global.

 

Pengarah Program Strategik Maybank Islamic, Dr. Muhd Ramadhan Fitri Ellias berkata,  Salaam Market adalah satu daripada inisiatif melangkaui perbankan yang dijalankan oleh pihaknya untuk menyokong keperluan PMKS dalam mengukuhkan ekosistem halal. 

 

"Melalui Maybank Islamic, penggiat industri halal dapat memajukan perniagaan mereka melalui pembiayaan dan bimbingan Fasiliti Halal secara langsung," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengasas Bersama Borong, Aizat Rahim pula berkata, melalui kerjasama dengan Maybank Islamic bagi rumusan pembiayaan dan sokongan JAKIM dalam pensijilan halal, Salaam Market dapat menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pemain industri halal, termasuk isu kemampuan dan aksesibiliti.

 

Majlis perasmian Salaam Market disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di PIHEX.

 

Platform itu mensasarkan penyertaan 10,000 PMKS menjelang 2025. 

 

Sebagai promosi, Salaam Market sehingga 1 Januari 2025, menawarkan diskaun terhad sebanyak RM100 dengan perbelanjaan minimum RM250 untuk setiap pembelian yang dibuat. - DagangNews.com