Mercury Securities menilai harga saham OB Holdings yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 29 sen | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities menilai harga saham OB Holdings yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 29 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Okt - Mercury Securities memberikan nilai wajar kepada pengeluar komponen kejuruteraan ketepatan, OB Holdings Bhd pada 29 sen sesaham.

 

Penilaian dengan penarafan "langgan" tersebut adalah lebih tinggi sebanyak 20.8% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 24 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 Oktober 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, OB Holdings dinilai berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 14 kali daripada pendapatan sesahamnya (EPS) bagi tahun kewangan 2026 (FY26).

 

"Sasaran PE kami sebanyak 14 kali itu mencerminkan diskaun 20% kepada purata rakan setara, memandangkan permodalan pasaran OB Holdings yang lebih kecil.

 

"Kami menyukai saham itu kerana kekuatan daya saingnya berbanding rakan sebayanya, pelan pengembangan strategik dan kunci kira-kira yang sihat dengan margin yang stabil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Mercury Securities berkata, kumpulan itu kini mengendalikan dua kilang iaitu di Selayang untuk kedua-dua makanan dan minuman (F&B) serta makanan tambahan dan Seredah yang disewakan.

 

Katanya, disebabkan susun atur yang tidak cekap dan ruang lantai yang terhad, kumpulan itu sedang membina sebuah kilang di Serendah seluas 105,000 kaki persegi baharu dengan aliran kerja yang optimum dan kemudahan moden (pejabat dan makmal baharu untuk R&D).

 

Setelah selesai, operasi F&B yang diperkaya akan disatukan di sana, manakala Selayang memberi tumpuan kepada makanan tambahan.

 

"OB Holdings merancang melabur RM5 juta (17.4% daripada hasil IPO) dalam jentera baharu untuk meningkatkan pengeluaran.

 

"Dengan populasi warga tua Malaysia diunjurkan meningkat, permintaan untuk produk berkaitan kesihatan dijangka meningkat, meletakkan OBH dengan baik untuk pertumbuhan masa depan," katanya.

 

Sementara itu, daripada jumlah hasil sebanyak RM28.8 juta, RM14.9 juta akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank yang ditanggung daripada pembinaan Kilang Serendah.

 

Sejumlah RM900,000 akan digunakan untuk membina makmal baharu di Kilang Serendah baharu dan menjalankan ujian klinikal untuk Bonlife SachaQ10 Plus Softgel.

 

Baki dana akan digunakan untuk tujuan operasi am, termasuk RM1 juta untuk aktiviti pemasaran dan pengiklanan, RM3 juta untuk modal kerja, dan RM4 juta untuk menampung perbelanjaan berkaitan IPO.- DagangNews.com