KUALA LUMPUR 27 Nov - Meta Bright Group Berhad (Meta Bright) mengumumkan kerjasama strategik dengan Tunas Manja Sdn. Bhd. (TMG), pengendali runcit dan peruncit terkemuka di Malaysia dengan rangkaian lebih 100 kedai di seluruh negara, bagi kerja-kerja pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di bumbung bangunan yang dikendalikan oleh TMG di bawah Program Net Energy Metering (NEM) 3.0.
Kerjasama itu, yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MOU) pada 26 Mei 2024, membolehkan TMG menghasilkan elektrik mereka sendiri daripada tenaga solar dan mengimbangi penggunaan tenaga dari grid, sekali gus menghasilkan penjimatan kos dan mengurangkan pergantungan terhadap bahan api fosil.
Ia juga bertujuan untuk meneroka inisiatif kecekapan tenaga (EE) di seluruh portfolio hartanah TMG, meningkatkan kelestarian operasi sambil mengurangkan kos tenaga.
Meta Bright akan bertanggungjawab dalam pembangunan, reka bentuk, pembiayaan, pemasangan dan penyelenggaraan sistem PV untuk hartanah TMG dengan projek pertama dimulakan di Tunas Manja Mart Wisma Air Putih di Kuantan, membuka jalan untuk pemasangan seterusnya di rangkaian kedai TMG.
Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik Meta Bright Group Berhad, Derek Phang Kiew Lim berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Tunas Manja dan menyokong perjalanan mereka ke arah kelestarian.
"Penyelesaian menyeluruh kami akan membantu TMG mengurangkan impak alam sekitar, meningkatkan kecekapan operasi dan menyumbang kepada prestasi kewangannya.
"Inisiatif ini mencerminkan komitmen bersama kami terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan menonjolkan peranan berkembang Meta Bright dalam peralihan tenaga di Malaysia. Dengan Program NEM 3.0 dan langkah-langkah kecekapan tenaga, kami mahu memberikan nilai jangka panjang kepada rakan kongsi kami dan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama tersebut sejajar dengan matlamat peralihan tenaga yang lebih luas di Malaysia, seperti yang digariskan dalam inisiatif Bajet 2025 yang diumumkan baru-baru ini.
Dengan RM300 juta diperuntukkan untuk Kemudahan Peralihan Tenaga Nasional dan pengembangan projek tenaga boleh diperbaharui seperti program Solar Skala Besar (LSS), kerjasama sedemikian amat penting dalam memajukan penggunaan tenaga mampan. - DagangNews.com