MGB diunjur catat untung bersih RM58.6 juta pada FY24 dipacu projek rumah mampu milik | DagangNews Skip to main content

MGB diunjur catat untung bersih RM58.6 juta pada FY24 dipacu projek rumah mampu milik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Rakuten Trade mengunjurkan MGB Bhd mencatatkan untung bersih RM58.6 juta pada FY24 dipacu projek rumah mampu milik di bawah skim Rumah Selangorku serta projek pembinaan lain.

 

Katanya, di bahagian pembangunan hartanah, siri projek Rumah Selangorku Idaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM786 juta, ia terdiri daripada unit rumah mampu milik yang menyaksikan jualan memberangsangkan dengan kebanyakan unit telah diambil.

 

Selain itu, kumpulan itu juga terlibat dalam pembangunan tanah perindustrian melalui melalui Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) (GDV: RM747 juta), dengan kerjasama Terengganu Inc., sekali gus meningkatkan kehadirannya dalam segmen perindustrian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mempunyai portfolio projek pembinaan yang sedang dijalankan terdiri daripada Kita @ CyberSouth, Idaman Melur, Idaman Cahaya, Idaman Sari, dan Saujana Indah.

 

"Sehingga Ogos 2024, segmen pembinaan MGB telah memperoleh buku pesanan sebanyak RM1.31 bilion.

 

"Selain itu, usaha MGB melebarkan pasaran ke Arab Saudi bagi membekal dan memasang produk konkrit pratuang untuk pembangunan berskala besar seperti Roshn Alarous (sebuah projek perumahan besar-besaran di utara Jeddah) merupakan langkah penting dalam mengembangkan jejak perniagaannya.

 

"MGB juga memperoleh dua pesanan pembelian bernilai RM119.5 juta bagi 400 vila untuk pembangunan ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Rakuten Trade berkata, memandang ke hadapan, kumpulan itu memiliki beberapa projek alam perancangan termasuk Pocket Lands Developments (GDV: RM1.1 bilion) dan siri RSKU 3.0 di Puchong dan Cameron Highlands (GDV: RM107 juta) yang dijangka dilancarkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP)  RM1.36 sesaham.- DagangNews.com