MIDF Research naikkan unjuran purata harga minyak sawit mentah kepada RM4,000 setiap tan kesan fenomena La Nina | DagangNews Skip to main content

MIDF Research naikkan unjuran purata harga minyak sawit mentah kepada RM4,000 setiap tan kesan fenomena La Nina

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - MIDF Research menyemak naik unjuran purata harga minyak sawit mentah (MSM) kepada RM4,000 bagi setiap tan selepas mengambil kira kesan gangguan bekalan tempatan dan minyak kacang soya (SBO) akibat fenomena La Nina dalam tempoh terdekat ini.

 

Katanya, pengeluaran MSM pada September 2024 mendatar sebanyak 1.88 juta tan berbanding tahun sebelumnya, pertumbuhan perlahan dilihat di kebanyakan negeri terutama di Sabah dan Sarawak yang memegang sebahagian besar jumlah pengeluaran tempatan, masing-masing sekitar 21.4% dan 21.3%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, buah tandan segar (BTS) yang diterima oleh kilang juga terjejas, turun kepada 9.24 juta tan dengan purata hasil BTS tidak berubah kerana proses pemindahan terganggu oleh cuaca basah. 

 

"Laporan terbaharu daripada Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan keadaan La Nina berkembang pada September, membawa kepada ramalan cuaca basah berterusan sehingga November 2024, dengan kebarangkalian 71% berterusan ke awal tahun depan.

 

"Walaupun peralihan ini dijangka membalikkan kesan El Nino pada awal tahun, penuaian dan pemindahan BTS berkemungkinan menghadapi gangguan akibat banjir di sepanjang laluan ke kilang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

MIDF Research berkata, bagaimanapun sektor perladangan berdepan beberapa cabaran termasuk obligasi jualan domestik (DMO) di Indonesia, pegukuhan nilai ringgit (mengurangkan harga daya saing MSM untuk bersaing dengan minyak sayuran lain) dan kos pengeluaran lebih tinggi antara RM2,500 hingga RM2,800 bagi setiap tan.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" terhadap sector itu dengan IOI Corp (beli, TP: RM4.50) dan Ta Ann (beli, RP:RM4.41) sebagai pilihan utama.

 

Prospek IOI Corp kekal positif  dengan kilang penapisan oleokiminya terlindung dengan baik daripada kos input yang tinggi kerana lokasi operasi yang strategik, tidak seperti pesaingnya yang beroperasi di Eropah.

 

Ta Ann merupakan pemain industri huluan dan harga sahamnya sangat berkaitan dengan pergerakan MSM, oleh itu sebarang trajektori menaik dalam harga MSM akan menyediakan peluang dagangan positif.- DagangNews.com