MKH Oil Palm laksana program belian balik saham, komited pembayaran dividen 50% daripada keuntungan | DagangNews Skip to main content

MKH Oil Palm laksana program belian balik saham, komited pembayaran dividen 50% daripada keuntungan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Nov - MKH Oil Palm (East Kalimantan) Bhd telah memulakan program pembelian balik sahamnya sejak 25 September 2024 dan setakat ini berjaya membeli semula sejumlah 6.17 juta saham sehingga 22 Oktober lalu.

 

Menerusi program pembelian balik saham yang dimandatkan oleh pemegang sahamnya semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 10 September 2024, syarikat diberi kuasa untuk membeli semula sehingga 5% daripada jumlah modal saham terbitannya atau 51.18 juta saham

 

Sekiranya pembelian balik saham itu dilaksanakan sepenuhnya, pegangan saham awam kumpulan akan berkurangan kepada 25.03% berbanding 28.78%.

 

Pembelian balik saham itu dijangka menstabilkan harga saham MKH Oil Palm dan membolehkan kumpulan menggunakan lebihan sumber kewangannya dengan lebih cekap menghasilkan struktur modal yang lebih cekap.

 

"Kumpulan itu komited dengan pembayaran dividen sekurang-kurangnya 50% daripada keuntungan disatukan tahunan syarikat yang diaudit selepas cukai yang diagihkan kepada pemilik syarikat dengan mengambil kira keperluan modal kerja kumpulan. Ini akan diterjemahkan kepada kira-kira hasil tahunan antara 5% hingga 6%.

 

"Setakat ini, kumpulan telah membayar 2 sen, dengan pembayaran dividen sebelum ini pada 12 Jun 2024," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dari segi kewangan, kumpulan itu hampir tidak mempunyai pinjaman dan berada dalam kedudukan tunai bersih. Pada 30 Jun, 2024, syarikat itu mempunyai tunai sebanyak RM199.65 juta dan pendapatan belum diaudit sebanyak RM200.59 juta.

 

Katanya, untuk sembilan bulan berakhir 30 Jun 2024, MKH Oil Palm berjaya mencatatkan keuntungan bersih terkumpul sebanyak RM43.21 juta dengan hasil sebanyak RM261.63 juta.

 

Untung bersih sembilan bulan MKHOP untuk FY24 telah melebihi keseluruhan keputusan FY23 sebanyak 38%.

 

Pengerusi MKH Oil Palm, Tan Sri Alex Chen Kooi Chiew @ Cheng Ngi Chong berkata, pihakya berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada pertumbuhan dalam pasaran minyak makan global dan industri kelapa sawit di Indonesia.

 

Beliau berkata, dari aspek perniagaan, pihaknyaakan terus aktif mencari tanah ladang kelapa sawit baharu untuk pertumbuhan pendapatan dan simpanan tanah.

 

"Bagi aspek pasaran modal, pembelian balik saham dan dividen kami akan bertindak sebagai penstabil semula jadi, selain menunjukkan keyakinan terhadap prospek syarikat.

 

“Kami yakin cara kami menjalankan perniagaan yang bersepadu dan berhemat akan memastikan pertumbuhan yang mampan," katanya.- DagangNews.com