KUALA LUMPUR 18 Nov - MMAG Holdings Bhd (MMAG) telah diberikan surat pengecualian oleh Bursa Securities daripada diklasifikasikan sebagai syarikat tersenarai di bawah Nota Panduan 3 (GN3).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia rumusan teknologi maklumat dan komunikasi itu berkata, kelulusan pengecualian pada 15 November 2024 itu biasanya diberikan kepada syarikat tersenarai Pasaran ACE yang mengalami masalah kewangan.
“Selepas kelulusan, syarikat akan terus mengambil langkah bagi mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan, sambil memastikan pematuhan kepada keperluan penyenaraian Pasaran ACE Bursa Securities.
“Lembaga Pengarah MMAG tetap komited untuk melaksanakan rancangan dan strateginya bagi meningkatkan kedudukan kewangan kumpulan, mengekalkan ketelusan dan memenuhi semua kewajipan kawal selia,” katanya.
Syarikat itu, yang terlibat dalam penjualan peranti digital dan perkhidmatan logistik, disenaraikan sebagai syarikat GN3 selepas ekuiti pemegang sahamnya jatuh di bawah 50% daripada modal saham terbitan pada tahun berakhir 31 Mac 2023 (FY2023).
Sebagai maklum balas, MMAG berkata, kumpulan itu telah mengumpul dana melalui terbitan hak dan penukaran waran sejak penyata kewangan teraudit dikeluarkan.
Katanya, jumlah yang diperoleh ialah RM145.34 juta sebanyak 10 sen sesaham pada Januari dan memperolehi RM92.09 juta daripada penukaran waran dari Januari hingga September, pada 15 sen setiap satu saham.
Pada akhir Jun 2024, MMAG mencatat tunai bersih sebanyak RM52.6 juta, tidak mengambil kira liabiliti pajakan sebanyak RM52.62 juta.
Kumpulan itu merancang untuk mengurangkan modal bagi menangani tahap ekuitinya.
Sepanjang bulan lalu, MMAG telah mencapai kemajuan dalam usaha niaga berkaitan penerbangannya, setelah mendapat kelulusan kawal selia bagi menjalankan aktiviti pengendalian darat selama satu tahun dan melaksanakan perniagaan pajakan pesawat di Labuan.
Dalam 18 bulan berakhir September 2024, MMAG mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM95.71 juta, atas hasil sebanyak RM824.44 juta, yang dikaitkan dengan kos pengembangan perniagaan.
Pada suku Julai sehingga September 2024, MMAG mencatat keuntungan RM21.04 juta, terutamanya berikutan ringgit yang lebih kukuh dan pembalikan kemerosotan akibat pemulihan penghutang.
Sementara itu, harga saham MMAG didagangkan setengah sen atau 1.18% lebih tinggi pada 43 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM981.59 juta. - DagangNews.com