KUALA LUMPUR 1 Nov - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) ingin merujuk kepada beberapa hantaran yang tular di media sosial yang menunjukkan dua ekor gajah cuba merempuh struktur pagar yang telah dipasang di jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
MRL memaklumkan, video yang tular tersebut adalah sebahagian daripada proses ujian ketahanan bagi reka bentuk pagar haiwan liar yang dijalankan di kawasan yang dikenal pasti sebagai habitat gajah di daerah Temerloh, Pahang.
Jajaran ECRL di Hutan Simpan Kemasul, Temerloh, Pahang merentasi beberapa ladang pertanian dan kawasan pinggir Hutan Simpan Kemasul yang menjadi habitat kumpulan gajah.
Setelah beberapa sesi perbincangan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia dijalankan, pagar halangan fizikal gajah perlu dibina di kedua-dua belah landasan ECRL di sepanjang Hutan Simpan Kemasul bagi mengelak konflik manusia-gajah di kawasan tersebut terutamanya semasa dan selepas projek disiapkan.
Ia juga merupakan satu kawalan mitigasi bagi menghalang kemasukan gajah ke kawasan landasan kereta api ECRL yang boleh menyebabkan kemalangan.
Justeru, pihak Jabatan PERHILITAN telah mengesyorkan agar prototaip reka bentuk pagar halangan fizikal dibina di lokasi sebenar bagi menguji ketahanan dan keberkesanan pagar sebelum sebarang keputusan reka bentuk dimuktamadkan.
Ujian ketahanan prototaip pagar halangan fizikal gajah telah dilakukan pada 23 Oktober 2024 dengan kerjasama pihak Jabatan PERHILITAN.
Lanjutan daripada itu, perbincangan susulan antara pihak ECRL dan Jabatan PERHILITAN akan dibuat dalam masa terdekat untuk tindakan seterusnya.
Untuk makluman, satu perjanjian tambahan pelaksanaan Pelan Pengurusan Hidupan Liar bagi Projek ECRL telah dimeterai antara kontraktor utama projek iaitu China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd dan PERHILITAN pada 2022 bagi menambah baik kerja-kerja pemuliharaan dan mitigasi hidupan liar di sepanjang jajaran 665 kilometer.
Bagi mengurangkan kesan alam sekitar daripada proses pembinaan terhadap hutan, sungai dan sumber air, reka bentuk jajaran ECRL turut merangkumi pembinaan 41 buah terowong, kira-kira 145 kilometer laluan bertingkat atau jejambat serta 28 lintasan hidupan liar di lokasi-lokasi strategik.
MRL adalah pemilik Projek ECRL yang merupakan infrastruktur rel nasional yang bakal merentasi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Lembah Klang. - DagangNews.com